Ahad, 20 Mei 2018 | 6:02pm
PEMAIN import Selangor, Ilham Udin Armaiyn (kanan) masih bersemangat untuk terus bersama dengan pasukan meskipun prestasinya setakat ini mengundang kritikan segelintir penyokong sendiri. - Foto Owee Ah Chun
PEMAIN Selangor, Ilham Udin Armaiyn. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Ilham belum mahu mengalah dengan Selangor

KUALA LUMPUR: Pemain import dari Indonesia, Ilham Udin Armaiyn masih bersemangat untuk terus bersama Selangor meskipun prestasinya setakat ini mengundang kritikan segelintir penyokong sendiri.

Ilham, 22, menyarung jersi Red Giants pada awal musim ini dengan penyokong meletakkan harapan tinggi kepadanya untuk memberikan impak bersama rakan senegara Ivan Dimas.

Namun ada yang melihat permainan pemain sayap ini sebagai sederhana saja apatah lagi masih gagal mencetak gol selepas 10 perlawanan liga sehingga mengundang spekulasi dia antara pemain yang bakal digugurkan pada tempoh perpindahan kedua pemain bulan ini.

Bagaimanapun Ilham tidak cepat mengalah dengan kritikan itu sebaliknya mahu terus membantu Selangor memperbaiki kedudukan di tangga ke-8 Liga Super ketika ini.

"Saya tidak ada tekanan (gagal menjaringkan gol), mungkin belum ada rezeki untuk saya. Ini risiko saya sebagai pemain import, harus terima sebarang tekanan dengan baik dan saya masih bersemangat untuk bersama Selangor," Kata bekas pemain kelab juara Liga 1 Indonesia, Bhayangkara FC itu.

Ilham ditemui pada sesi latihan pertama Selangor pada bulan Ramadan di bawah kendalian jurulatih, Nazliazmi Mohamad Nasir bagi menghadapi aksi Liga Super menentang PKNP FC, di Stadium Negeri, Pulau Pinang, Rabu ini.

Pemain kebangsaan Indonesia itu percaya, mereka mampu untuk memperbaiki kedudukan liga meskipun mengharungi lima perlawanan mencabar sepanjang Ramadan ini.

"Ini bukan kali pertama saya berpuasa di luar negara. Ketika di Indonesia dulu, saya juga pernah berpuasa di luar negara dan berlatih di bulan Ramadan, jadi saya sudah biasa.

"Pemain kena berusaha keras lagi dan mudah-mudahan akan diberi rezeki untuk Selangor berada di posisi lebih baik," kata Ilham.

Berita Harian X