Isnin, 21 Mei 2018 | 1:12am
DIDIER Deschamps. - Foto AFP
DIDIER Deschamps. - Foto AFP

Ibu Payet bengang dengan Deschamps

PARIS: Ibu kepada Dmitri Payet mengkritik pengendali Perancis, Didier Deschamps berikutan kegagalannya memberitahu pemain tengah Marseille itu yang dia tidak akan pergi ke Piala Dunia 2018.

Ditanya menerusi rancangan televisyen TF1's Telefoot sama ada anaknya itu diberitahu secara peribadi oleh Deschamps betapa dia tiada dalam perancangan ke Russia, ibu Payet membalas: "Tidak. Dia mengetahui menerusi televisyen sama seperti orang lain."

Deschamps berkata keputusan tidak memanggil Payet yang beraksi baik di Euro 2016, adalah sesuatu yang logik.

"Saya mempunyai senarai 23 pemain untuk diserahkan dan banyak perkara lagi perlu difikirkan dalam tempoh yang terhad, tidak sempat untuk memberitahu Payet," kata Deschamps.

Payet tidak keseorangan apabila penyerang berpengalaman Real Madrid, Karim Benzema, Anthony Martial (Manchester United) dan Alexander Lacazette (Arsenal) turut tidak disenaraikan dalam skuad berbakat itu.

Antoine Griezmann akan mengetuai jentera serangan Les Bleus, kemungkinan besar bersama Kylian Mbappe atau Olivier Giroud.

Sementara penyerang Ousmane Dembele (Barcelona), Nabil Fekir (Lyon) dan Florian Thauvin (Marseille) berperanan sebagai penyerang sokongan. - AFP

Berita Harian X