X
Jumaat, 25 Mei 2018 | 6:31pm
BEKAS pemain kebangsaan, Syahrul Azwari Ibrahim. - Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
BEKAS pemain kebangsaan, Syahrul Azwari Ibrahim. - Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Syahrul Azwari aset baharu MU

MELAKA: Jurulatih Melaka United (MU), E Elavarasan bakal menurunkan bekas pemain kebangsaan, Syahrul Azwari Ibrahim ketika saingan getir bertemu Terengganu pada aksi Liga Super di Kuala Terengganu, malam esok.

Walaupun masih baru bersama pasukan, jurulatih itu akan memberi ruang kepada pemain berkenaan menyumbang kudrat bagi menyaingi kehebatan skuad tuan rumah.

Bekas jurulatih PKNS dan Terengganu itu berkata, jika semua urusan pendaftaran Syahrul menjelang perlawanan itu selesai, sudah pasti dia akan diberi tempat untuk beraksi.

"Sama ada untuk babak kedua, 30 minit terakhir atau kurang daripada itu belum dipastikan, namun bekas pemain Sukan Sea 2011 ini akan diturunkan buat pertama kali bersama skuad Hang Tuah.

"Saya tidak bimbang dengan kemampuan dan kebolehannya menyuntik sentuhan lebih efektif buat pasukan, namun dia yang agak lama tidak beraksi mungkin sedikit membimbangkan. Apa pun peluang yang akan diberikan kepadanya diharap mampu diterjemahkan dengan positif," katanya.

Pemain berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu pernah menyertai The Red Warriors, Sarawak dan Johor Darul Ta'zim II (JDT II), kini dilihat aset buat MU berikutan memiliki kemahiran tinggi dan mampu beraksi di posisi penting, termasuk sayap, tengah dan serangan.

Sementara itu, Elavarasan turut mengakui Terengganu sebuah pasukan yang mantap dan memiliki pemain agresif, termasuk di posisi tengah dan serangan.

Malah, pasukan itu pastinya mengambil kesempatan beraksi di gelanggang sendiri, selain moral tinggi selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perak minggu lalu.

"Bagaimanapun, saya mengharapkan pemain akan bertindak cemerlang untuk menafikan kelebihan lawan dan pada masa sama berusaha meraih kemenangan atau pulang sekurang-kurangnya dengan satu mata," katanya.

Berita Harian X