Jumaat, 1 Jun 2018 | 7:41am
TRUJILLO adalah individu pertama yang ditahan oleh hakim AS berhubung skandal rasuah FIFA. - Foto AFP
TRUJILLO adalah individu pertama yang ditahan oleh hakim AS berhubung skandal rasuah FIFA. - Foto AFP

Guatemala bebas penggantungan FIFA

GUATEMALA CITY: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini membatalkan penggantungan yang dikenakan ke atas Guatemala susulan kegagalan untuk mematuhi undang-undang anti-rasuah sejak 18 bulan lalu.

Penggantungan terbabit menyaksikan pasukan dari Guatemala tidak dibenarkan menyertai pertandingan antarabangsa seperti Piala Emas, Sukan Amerika Tengah dan juga Liga Juara Juara CONCACAF.

"FIFA hari ini membatalkan penggantungan yang dikenakan ke atas Persatuan Bolasepak Guatemala (Fedefut)," kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

FIFA menjelaskan keputusan itu dibuat selepas menerima surat daripada ketua jawatankuasa yang dilantik bagi memantau persatuan bolasepak itu, Juan Carlos Rios.

"Penggantungan ini dibatalkan serta merta sekali gus mengembalikan hak Guatemala sebagai ahli gabungan FIFA," kata Rios pada sidang media.

"Ini adalah hari yang menggembirakan buat kami."

FIFA mengenakan hukuman terbabit kepada Guatemala sejak Oktober 2016 selepas mereka gagal untuk menubuhkan jawatankuasa berikutan skandal rasuah antarabangsa yang menggegarkan bola sepak dunia.

Bekas Setiausaha Agung Fedefut, Hector Trujillo menjadi individu pertama yang ditahan kerana terbabit dengan skandal itu dan dikenakan hukuman penjara selama lapan bulan oleh mahkamah di New York atas kesalahan penipuan berhubung penggunaan komunikasi dan teknologi. - AFP

Berita Harian X