Isnin, 4 Jun 2018 | 2:58pm
NAZLIAZMI Mohamad Nasir akan melakukan beberapa perubahan taktikal dalam usaha memerangkap PKNS FC. - Foto Owee Ah Chun
NAZLIAZMI Mohamad Nasir akan melakukan beberapa perubahan taktikal dalam usaha memerangkap PKNS FC. - Foto Owee Ah Chun

Selangor tukar taktik perangkap adik

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Selangor, Nazliazmi Mohamad Nasir akan melakukan beberapa perubahan taktikal dalam usaha memerangkap pasukan adik, PKNS FC pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Rabu ini.

Selain taktikal, barisan pemain yang beraksi cemerlang ketika membelasah pasukan tangga tercorot, Kelantan di gelanggang sama pada Jumaat lalu juga bakal mengalami sedikit pertukaran.

"Empat perlawanan tanpa menang sebelum ini memang sesuatu yang sukar bagi Selangor dan syukur pemain dapat mempamerkan aksi terbaik berdepan Kelantan.

"Kami mengutip (tiga) mata penting ketika bertemu Kelantan untuk memperbaiki kedudukan liga dan menjadi suntikan motivasi terbaik buat pemain sebelum berdepan PKNS pada 6 dan 10 Jun ini.

"Namun, kami tetap akan melakukan sedikit perubahan dari aspek taktikal dan barisan pemain untuk berdepan PKNS nanti," kata Nazliazmi.

Melihat kepada carta liga, PKNS berada di kedudukan lebih baik berbanding Selangor apabila menghuni tangga keenam selepas mengharungi 13 perlawanan dan mengumpul 19 mata.

Selangor pula menduduki tiga anak tangga di belakang dengan mengumpul 14 mata, tetapi masih kekurangan satu perlawanan selepas aksi berdepan PKNP FC di Stadium Batu Kawan pada 23 Mei lalu dibatalkan kerana masalah lampu limpah.

Selangor yang mengalami pertukaran jurulatih selepas Nazliazmi dipilih sebagai pengganti kepada P Maniam pada Mac lalu dilihat masih belum menemui rentak konsisten apabila meraih empat kemenangan, dua seri dan enam kekalahan setakat ini.

Malah, Nazliazmi turut mengakui barisan pemain muda Red Giants masih tercari-cari rentak permainan sebenar mereka untuk menyesuaikan diri dengan tugas mencabar dalam Liga Super.

"Saya sentiasa memberi pesanan kepada pemain, bila masuk dalam padang anda bukan lagi pemain muda atau senior. Bila masuk dalam padang kena ada jiwa yang besar untuk bawa pasukan ke tahap lebih baik," katanya.

Berita Harian X