Isnin, 4 Jun 2018 | 11:52pm
Pengurus baharu Everton, Marco Silva pada sesi sidang akhbar di Liverpool. - Foto REUTERS

Silva minta Rooney buat pilihan sendiri

LONDON: Pengurus baharu Everton, Marco Silva berkata terpulang kepada Wayne Rooney untuk membuat keputusan sama ada terus kekal atau meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bagi menyertai kelab Major League Soccer, DC United.

Rooney, 32, sudah mengadakan perbincangan dengan francais di Washington itu dengan laporan pemindahan dianggarkan bernilai AS$17 juta (RM67.63 juta) hanya selepas setahun kembali ke Goodison Park dari Manchester United.

"Dia sudah melakukan perbincangan awal," kata Silva selepas diumumkan sebagai pengurus ketiga Everton dalam tempoh lapan bulan, hari ini.

"Rooney adalah seorang legenda kelab ini dan kita perlu memahami segala-galanya. Pintu sentiasa terbuka untuknya."

Pemegang rekod sepanjang zaman England itu menunda keputusan mengenai masa depannya sehingga pelantikan pengurus baharu kelab berkenaan.

Rooney adalah penjaring terbanyak Everton dengan 11 gol musim ini meskipun kerap diketepikan di bawah pengurusan Sam Allardyce yang dipecat bulan lalu.

"Ada kemungkinan dia akan meninggalkan kelab. Dia sedang berbincang dengan Washington, ia bukan lagi rahsia," kata pengarah kelab bola sepak itu, Marcel Brands yang juga baharu dilantik bulan lalu.

"Kami juga ada melakukan perbincangan dengannya."

Allardyce membantu Everton terkeluar daripada masalah penyingkiran dan menamatkan saingan di tangga kelapan selepas dibelenggu permulaan musim hambar yang menyaksikan Ronald Koeman ketika itu disingkirkan pada Oktober.

Bagaimanapun, bekas pengurus England itu berdepan isu dengan penyokong Everton yang mengkritik corak penerapan permainan bola sepak dilakukannya.

- AFP

 

 

Berita Harian X