Khamis, 7 Jun 2018 | 12:20am
Skuad Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 15 Tahun 2018 tiba di balai ketibaan KLIA bergambar dengan piala kemenangan selepas menjuarai Kejohanan Antarabangsa RKVVL / Polaris Maastricht di Belanda pada 26 mei lalu. - Foto Hafiz Sohaimi

NFDP bukan pembaziran

SEPANG: "Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bukan suatu pembaziran, sebaliknya pelaburan jangka panjang untuk kemajuan bola sepak negara," kata pengendali skuad Akademi Mokhtar Dahari bawah 15 tahun (B-15) negara, Mohd Armi Shariff.

Beliau yang tiba bersama pasukan dari siri jelajah Eropah termasuk menjuarai salah satu pertandingan terbesar di sana iaitu Kejohanan Antarabangsa RKVVL/Polaris di Maastricht, Belanda pada 26 Mei lalu, percaya NFDP adalah lubuk terbaik untuk meletakkan Malaysia sebagai kuasa baharu bola sepak dunia suatu hari nanti.

Justeru, katanya, isu pembaziran tidak timbul kerana ia adalah satu pelaburan yang boleh mendatangkan pulangan yang besar kepada negara.

"Mungkin perbelanjaan untuk menguruskan program ini (NFDP) agak tinggi, namun bagi memastikan pemain muda terus mendapat pendedahan mereka perlu terus menjalani latihan di luar negara.

"Saya harap pimpinan kerajaan baharu akan terus menyokong kami yang kini dalam landasan tepat untuk melahirkan ramai bakat-bakat hebat selepas ini," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Sejak NFDP ditubuhkan pada 2014 lalu, sudah banyak kejayaan dilakar oleh pasukan muda negara itu sama ada di kejohanan tempatan mahupun antarabangsa.

Antara pencapaian terbesar NFDP ialah muncul juara Iber Cup Costa del Sol 2015 di Portugal dan memenangi Piala SuperMokh 2016 di Kuala Lumpur.

Malah, baru-baru ini skuad B-14 AMD turut cemerlang apabila menjuarai saingan Whitsun di Dortmund, Jerman selain menjulang trofi Vogido di Enschede, Belanda minggu lalu.

"Bukan itu saja, pemain juga ada yang diintai kelab Eropah dan nampaknya mereka benar-benar tertarik dengan pemain kita.

"Saya percaya tidak mustahil Malaysia akan kerap melangkah ke Piala Dunia suatu hari nanti, jika NFDP ini terus dikekalkan sekurang-kurangnya 10 hingga 20 tahun lagi," katanya.

Sebelum ini, wujud desas-desus program yang diilhamkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu bakal ditutup ekoran langkah kerajaan baharu yang mahu berjimat dalam menguruskan perbelanjaan negara.

Berita Harian X