Jumaat, 8 Jun 2018 | 5:14pm
YUSRI Che Lah dua kali dijadikan 'bidan terjun' ekoran kegagalan pengendali Kelantan terdahulu, Sathit Bensoh dan Fajer Ebrahim.

Harap khidmat Yusri hingga hujung musim

KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kelantan (PBPBK) berharap Yusri Che Lah diberi kepercayaan untuk terus membimbing pasukan negeri itu sekurang-kurangnya hingga akhir musim ini.

Presidennya, Salim Mahmud berkata, sudah sampai masanya Yusri diberi peranan utama untuk menentukan hala tuju The Red Warriors selepas dua kali dijadikan 'bidan terjun' ekoran kegagalan pengendali terdahulu, Sathit Bensoh dan Fajer Ebrahim.

Malah, menurut Salim, pertukaran jurulatih yang terlalu kerap juga hanya akan mengganggu proses pemulihan pasukan itu berikutan pelbagai pembaharuan yang cuba dilakukan sebelum ini.

"Yusri sudah bersama Kelantan sejak awal musim. Walaupun peranannya sebelum ini hanya sekadar penolong jurulatih tapi sekurang-kurangnya beliau sudah mengenali pemain yang berada di bawah kendaliannya.

"Begitu juga dengan pemain yang mana sudah pasti lebih mudah untuk membentuk keserasian antara kedua-dua pihak. Lagipun pemain nampak selesa dengan cara Yusri.

"Di samping itu, dalam situasi sekarang, adalah tidak sesuai bagi KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) melantik jurulatih baharu kerana ia akan mengambil masa untuk membina persefahaman dengan pemain sama ada dalam mahupun di luar padang.

"Jadi, untuk lebih selamat, saya cadangkan elok KAFA kekalkan sahaja Yusri sekurang-kurangnya hingga akhir musim ini. Beri beliau kepercayaan penuh serta peluang untuk memulihkan prestasi Kelantan," kata Salim.

Beliau juga turut mencadangkan KAFA lebih 'membuka mata' kepada kemampuan jurulatih tempatan untuk mengemudi TRW musim depan selepas beberapa jurulatih import gagal melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

Ia juga sebagai langkah penjimatan susulan kekangan kewangan yang dihadapi oleh persatuan itu hingga terpaksa melepaskan beberapa pemain berpengalaman pada pertengahan musim ini.

"KAFA patut belajar daripada pengalaman berurusan dengan jurulatih luar dan jangan mengulangi kesilapan itu. Jurulatih seperti Fajer hanya membazirkan wang persatuan kerana gaji mereka bukannya rendah.

"Lagipun kita tidak ketandusan jurulatih tempatan yang berkemampuan, contohnya, Zahasmi (Ismail), cuma mereka tidak diberi peluang dan kepercayaan kerana mentaliti kita yang lebih mengagung-agungkan orang luar," katanya.

Berita Harian X