Jumaat, 22 Jun 2018 | 7:18pm
DIDIER Deschamps. - Foto REUTERS
DIDIER Deschamps. - Foto REUTERS

Deschamps pertahan taktikal

 

YEKATERINBURG: Perancis sudah pun menempah tiket ke pusingan kedua Piala Dunia tetapi pasukan itu dibayangi dengan taktikal ketua jurulatih Didier Deschamps yang mungkin tidak digemari ramai.

Deschamps yang berpeluang menyertai barisan legenda memenangi Piala Dunia selaku pemain dan jurulatih mempunyai banyak pilihan di bahagian serangan yang mencetuskan rasa iri hati rakan setugasnya di Russia.

Perancis diperkuatkan dengan Antoine Griezmann, Kylian Mbappe, Ousmane Dembele, Olivier Giroud dan Nabil Fekir di bahagian serangan.

Namun Les Bleus masih bergelut untuk menewaskan Australia 2-1 hasil sepakan penalti Griezmann dan jaringan sendiri pihak lawan. 

Mereka kemudian menewaskan Peru hanya dengan gol tunggal Mbappe.

Jaringan minit ke-34 itu dianggap tidak ada yang istimewa dan Perancis dilihat gemar melakukan hantaran jauh kepada Giroud.

Skuad bimbingan Deschamps yang akan bertemu Denmark, Selasa ini untuk cuba muncul juara Kumpulan C hanya mampu melakukan empat cubaan tepat di kesemua perlawanan.

Ditanya mengenai prestasi Mbappe, pengendali berusia 49 tahun itu lebih gemar untuk memberi fokus kepada dedikasi tinggi yang dipamerkan barisan pemain mudanya yang banyak membantu beraksi secara bertahan.

Selepas menyaksikan barisan pemain mudanya menghabiskan banyak masa pada separuh masa kedua secara bertahan ketika berdepan Peru, Deschamps berkata: "Saya menyaksikan perlawanan antara Sepanyol dan Iran (Sepanyol menang 1-0) dan Sepanyol menghabiskan 10 minit terakhir secara bertahan.

"Jika anda mahu melihat jaringan besar 5-0, jangan datang ke Piala Dunia kerana anda tidak akan dapat menyaksikannya," katanya. - AFP

 

Berita Harian X