Isnin, 25 Jun 2018 | 12:49am
MUHAMMAD Shahrel Fikri Md Fauzi - Foto Bernama
MUHAMMAD Shahrel Fikri Md Fauzi - Foto Bernama

Shahrel sertai Nakhon Ratchasima

IPOH: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC kehilangan khidmat ketua pasukannya, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dalam baki saingan Liga Super mulai hari ini.

Ini kerana penyerang terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017 itu akan berpindah ke Thailand untuk menyertai Nakhon Ratchasima FC secara pinjaman.

Pengesahan mengenai pemergian Shahrel itu dibuat ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, malam tadi.

Walaupun berat melepaskan pemain kesayangan PKNP FC itu, Bakar merelakan pemergian anak buahnya itu.

"Demi mengembangkan bakat, masa depannya serta untuk negara, negeri dan PKNP FC, saya dengan rela hati melepaskan Sharel Fikri.

"Dia akan menjadi pemain pertama Perak mengikat kontrak dengan kelab divisyen satu Thailand.

"Pemergian Shahrel akan memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak Malaysia serta menjadi contoh dan ikutan pemain muda berbakat di Malaysia mencuba nasib di luar negara," katanya.

Bakar berkata, dia mengetepikan kepentingan pasukan walaupun sedang membuat persiapan menghadapi saingan separuh akhir kedua Piala FA dan baki Liga Super.

"Saya melepaskan dia demi bola sepak Malaysia dan masa depannya. Mungkin ini peluang sekali seumur hidupnya. Saya bersama dia bermula daripada bawah dan kami telah menempuh banyak pengalaman bersama. Saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepadanya," katanya.

Berita Harian X