Isnin, 25 Jun 2018 | 2:59pm
PEMAIN PKNP FC Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (kiri) melarikan bola sambil dihalang pemain Melaka Khair Muhammad Jefri Jones ketika Perlawanan Liga Super 2018 di Stadium Perak malam ini.Keputusan separuh masa pertama 0-0. -Foto BERNAMA
PEMAIN PKNP FC Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (kiri) melarikan bola sambil dihalang pemain Melaka Khair Muhammad Jefri Jones ketika Perlawanan Liga Super 2018 di Stadium Perak malam ini.Keputusan separuh masa pertama 0-0. -Foto BERNAMA

Terima kasih PKNP - Shahrel

 

KUALA LUMPUR: Shahrel Fikri Md Fauzi sanggup mengorbankan cintanya terhadap PKNP FC bagi menyahut tawaran kelab Thailand, Nakhon Ratchasima, demi mengembangkan kariernya.

Shahrel yang bakal beraksi selama lima bulan secara pinjaman bersama kelab Divisyen Satu Thailand itu berkata, peluang sedemikian tidak patut disia-siakan sekalipun mengakui terlalu sayangkan PKNP serta berat hati untuk meninggalkannya.

"Saya berharap penyokong PKNP tidak menganggap saya hanya mementingkan diri dengan meninggalkan kelab itu ketika kami masih terumbang-ambing dalam Liga Super," kata Shahrel.

"Apatah lagi PKNP bakal berdepan Pahang pada separuh akhir kedua Piala FA yang mana peluang kami untuk ke final masih terbuka selepas seri 1-1 pada separuh akhir pertama, Sabtu lalu.

"Saya sangat sayangkan PKNP, kelab yang telah membentuk serta menaikkan karier saya sehingga ke tahap ini. Saya bukan lari daripada tanggungjawab tapi terpaksa meninggalkan mereka demi cita-cita saya.

"Secara jujur saya katakan, soal gaji bukan penyebab saya tinggalkan PKNP kerana apa yang bakal diperoleh di sana kelak lebih kurang sama dengan apa saya dapat sekarang, malah dalam kalangan pemain import Liga Thailand, saya yang mendapat gaji paling rendah." 

Shahrel berkata walaupun berat hati, dia lega kerana pemergiannya mendapat restu daripada kelabnya terutama jurulatih, Abu Bakar Fadzim.

"Saya berterima kasih kepada pengurusan kelab terutama Abang Bern (Abu Bakar) seorang yang sangat memahami kehendak pemain. Walaupun keadaan PKNP belum stabil, dia rela mengorbankan kepentingan pasukan dengan mengutamakan masa depan saya.

"Malah, dia yang mengusahakan rundingan awal dengan kelab Thailand itu tanpa pengetahuan saya sebaliknya hanya memaklumkan ketika dalam perjalanan ke Kuantan untuk menghadapi Pahang dalam separuh akhir Piala FA," katanya.

Pemenang trofi Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2017 itu bertekad akan memanfaatkan tempoh lima bulan itu untuk memikat pengurusan Nakhon Ratchasima yang mungkin membuka peluang kepadanya untuk terus beraksi bersama kelab itu musim depan.

Liga Thailand 2018 kini memasuki pusingan kedua dan dijangka berakhir pada penghujung Oktober ini dengan Nakhon kini berada pada kedudukan di tangga kesembilan daripada 18 pasukan.

Berita Harian X