Khamis, 5 Julai 2018 | 2:11am
DIEGO Maradona - Foto Reuters
DIEGO Maradona - Foto Reuters

Maradona tuduh England 'rompak' kemenangan Colombia

NIZNHY NOVGOROD, Russia: Legenda Argentina, Diego Maradona berkata England 'merompak' kemenangan Piala Dunia ke atas Colombia dan menuduh pengadil Mark Geiger tidak mencapai standard pengadilan bagi perlawanan sebesar itu.

Maradona yang diingati England kerana gol 'Tangan Tuhan' pada edisi 1986, berkata sepatutnya Geiger melayangkan kad kuning terhadap Kane berbanding menghadiahkan penalti berikutan kekasaran dilakukan pemain tengah Colombia, Carlos Sanchez semasa aksi kalah mati itu.

"Hari ini saya melihat satu rompakan besar berlaku di dalam padang... ia adalah kesilapan besar untuk seluruh negara," katanya mengenai insiden yang meletakkan England 1-0 di depan di babak kedua.

"Keputusan itu ditentukan oleh seorang pengadil yang kalau anda buat carian di Google, dia amat tidak layak untuk mengadili perlawanan sebesar ini... Geiger, seorang rakyat Amerika Syarikat, dan ia satu kebetulan," katanya kepada stesen televisyen Telesur.

Imej televisyen memaparkan Maradona meraikan dengan penuh kegembiraan jaringan penyamaan Colombia yang mengheret aksi pusingan 16 terakhir itu ke masa tambahan selepas perlawanan terikat 1-1.

Tetapi wajahnya kembali berkerut sebaik England memenangi pertembungan itu menerusi penentuan penalti, sekali gus menempah aksi suku akhir berdepan Sweden.

Malah, Maradona menyalahkan Ketua Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina kerana melantik Geiger mengendali perlawan terbabit. - REUTERS

Berita Harian X