Selasa, 10 Julai 2018 | 7:54am
PENGENDALI Aston Villa, Steve Bruce. - Foto Reuters

Villa terpaksa jual pemain terbaik

LONDON: Aston Villa mungkin terpaksa menjual beberapa pemain terbaiknya, termasuk pemain tengah Jack Grealish, bagi memenuhi tuntutan peraturan Fair Play Kewangan (FFP), kata pengendali Steve Bruce.

Bruce memberitahu Sky Sports News semalam, Villa yang terlepas peluang kembali ke kancah lumayan Liga Perdana Inggeris apabila tewas pada final playoff, tiada pilihan selain melepaskan aset berharga mereka.

Sky melaporkan Villa perlu mengumpul 40 juta pound (RM213.5 juta) bagi menepati peraturan FFP selepas kegagalan naik ke liga utama musim lalu.

Kelab itu berdepan arahan pembubaran oleh Mahkamah Tinggi bulan lalu sehingga mereka bersetuju dengan jadual pembayaran terhadap tunggakan cukai.

Pemilik Villa, Tony Xia berkata kelab itu tidak akan dijual tetapi Bruce, yang bersetuju untuk kekal bagi membantu kelab Midlands itu mengharungi tempoh sukar, sedar pemain-pemain akan dijual.

"Kami tahu apa yang perlu dijangka. Kami tidak mahu kehilangan Grealish, (penyerang Ivory Coast Jonathan) Kodjia dan (bek tengah Wales James) Chester, tetapi ia tidak dapat dielak dan kami perlu bersedia," kata Bruce.

- REUTERS

Berita Harian X