Jumaat, 13 Julai 2018 | 8:04am
UNAI Emery. - Foto Reuters

Emery gembira 'pelan' berjalan lancar

LONDON: Arsenal mungkin membuat penambahan dalam skuad sebelum Liga Perdana Inggeris (EPL) membuka tirainya tetapi ia hanya berlaku apabila ada pemain 'menakjubkan' boleh dibeli, kata pengurus Unai Emery.

Sambil mengakui gembira dengan perjalanan perpindahan pemain kelab itu ketika ini, Emery meneruskan pembeliannya dengan menandatangani pemain tengah, Matteo Guendouzi dari kelab Ligue 2 Perancis, Lorient ke Emirates dengan yuran tidak didedahkan, semalam.

Pemain remaja Perancis, Guendouzi adalah pembelian kelima pengurus Sepanyol itu mengikuti pertahanan Switzerland, Stephan Lichtsteiner, pertahanan Greece, Sokratis Papastathopoulos, penjaga gol Jerman Bernd Leno dan pemain tengah Uruguay, Lucas Torreira.

"Kebiasaan dalam karier saya, kelab-kelab besar tidak akan menutup (pintu) atau tempoh untuk mendapatkan pemain baharu," kata Emery.

"Hari ini, kami OK. Mungkin kami boleh membawa masuk seorang lagi jika ada kemungkinan yang amat baik untuk mereka membantu pasukan, tetapi kelab sudah melakukan kerja yang hebat untuk menandatangani pemain baharu dan saya gembira."

Arsenal menamatkan kempen musim lalu dengan mengecewakan di tangga keenam liga sekali gus terlepas tiket ke Liga Juara-Juara dengan pengurus Arsene Wenger meninggalkan kelab selepas 22 tahun berkhidmat.

Mereka berdepan aksi pembukaan EPL musim ini yang cukup getir bertemu penyandang juara, Manchester City pada 12 Ogos dengan Emery yang mengemudi Paris St Germain menjuarai Ligue 1 musim lalu cuba untuk membina semula pasukan yang mampu bersaing di kelompok empat terbaik.

"Biasanya kami berfikir mengenai pemain-pemain yang muda, kemungkinan mereka untuk kekal bersama kami atau dipinjamkan ke pasukan lain. Tetapi kami juga berfikir mengenai pemain yang ada di sini bersama kami tahun lalu dan sama ada kami memerlukan mereka kekal.

"Ketika ini, saya fikir skuad ini sudah lengkap. Kami akan menandatangani pemain lain jika ada peluang untuk membawa mereka masuk, seorang atau mungkin dua pemain. Kami akan menandatangani pemain pada bulan depan jika peluangnya besar." - Reuters

Berita Harian X