Ahad, 15 Julai 2018 | 7:01pm
 PENJAGA gol skuad Bawah-19, Azri Ab Ghani. - Foto Aswadi Alias
PENJAGA gol skuad Bawah-19, Azri Ab Ghani. - Foto Aswadi Alias

Tangan emas Azri julang skuad B-19

SEPANG: Penjaga gol skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Azri Ab Ghani muncul antara watak penting ketika skuad 'anak harimau' menjuarai Kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dengan menewaskan Myanmar 4-3 di final di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya semalam.

Ketika tumpuan lebih tertumpu kepada pemain di posisi lain, Azri menjadi penyelamat terutama selepas aksi tangkasnya menyingkirkan tuan rumah, Indonesia pada penentuan penalti di peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, Azri menegaskan seluruh pasukan berhak mendapat pujian atas kerja keras yang dilakukan sepanjang pertandingan ini.

"Pengalaman manis saya pastinya kejayaan menafikan sepakan penalti Indonesia di separuh akhir. Pengalaman pahit pula apabila 'diserang' dengan balingan objek keras oleh penyokong tuan rumah.

"Kejadian itu menambahkan semangat kami untuk tampil lebih baik. Apapun, kejayaan ini tidak akan hadir tanpa bantuan pemain lain dan mereka juga wajar dapat pujian," katanya sejurus tiba bersama pasukan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), hari ini.

Aksi tangkas Azri mengecewakan Indonesia di separuh akhir bukan perkara baru kerana turut tampil cemerlang ketika menafikan dua sepakan penalti Myanmar di separuh akhir edisi tahun lalu sebelum tewas 2-0 kepada Thailand di pentas final.

Bagaimanapun, Azri mengakui kedudukannya selaku penjaga gol nombor satu belum selamat untuk membawa cabaran negara ke Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Oktober depan.

"Masih ada tiga penjaga gol yang sedang bersaing merebut tempat. Jadi, saya perlu bekerja lebih keras dan buktikan kepada jurulatih yang saya mampu tampil aksi terbaik.

"Kejuaraan AFC adalah pertandingan berbeza dan saingan lebih sengit. Justeru, saya perlu terus kerja keras untuk tingkatkan lagi prestasi," katanya.

 

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X