Isnin, 16 Julai 2018 | 2:56am
JOEY Barton
JOEY Barton

Ramai tak setuju penalti Perancis

LONDON: Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) heboh diperkatakan ketika final Piala Dunia selepas Perancis dianugerahkan sepakan penalti kontroversi yang membolehkan mereka kembali mendahului Croatia.

Pengadil, Nestor Pitana menghabiskan beberapa minit di hadapan skrin VAR selepas beliau diminta untuk memeriksa potensi bola yang didakwa terkena tangan Ivan Perisic.

Walaupun kelihatan tidak sengaja, Pitana memutuskan bahawa tangan Perisic berada dalam kedudukan yang tidak wajar dan menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Antoine Griezmann sekali gus menjadikan kedudukan 2-1 memihak kepada Perancis.

Ramai yang bersetuju dengan keputusan pegawai perlawanan dari Argentina itu tetapi Joey Barton mengetuai senarai bekas pemain, pengurus dan wartawan yang menganggap keputusan yang dibuat itu salah.

Barton menjelaskan di Twitter: "Jika anda fikir itu penalti, sama ada Perancis atau tidak, adakah anda pernah bermain bola sepak?

"Boleh merosakkan permainan yang hebat. Bagaimanakah Perisic mahu mengelak dari perkara itu? Semoga ia bukan detik penting."

"Tidak mungkin pemain mempunyai masa untuk bertindak dan berfikir menggerakkan tangan ke arah itu untuk mengetuk keluar (bola dari) permainan. Ia berlaku terlalu cepat dan bagi saya hanya (bola) menyentuh tangannya. Tiada penalti!"

Bekas bintang Newcastle United, Alan Shearer berkata: "Mereka tewas perlawanan ini kepada sepakan percuma yang sepatutnya bukan sepakan percuma dan penalti yang jelas bukan penalti.

Jurgen Klinsman bersetuju dengan kenyataan itu, sementara Rio Ferdinand menambah: "Dua keputusan yang teruk dan benar-benar meletakkan permainan ini di kepalanya."

Bercakap di ITV, bekas kapten Manchester United, Roy Keane pula menjelaskan: "Keputusan penalti itu menjijikkan saya. Pemain Croatia layak mendapat lebih baik daripada itu. Ini keputusan yang memalukan."

Jamie Carragher dengan pantas menyifatkan kritikan itu tidak harus diarahkan kepada sistem VAR, tetapi terhadap pengadil yang membuat keputusan muktamad.

Beliau berkata: "Ia kesilapan pengadil bukan VAR! VAR hanya mengulang semula insiden itu."

Isu itu turut disuarakan Robbie Savage, sementara bekas penyerang Liverpool, Robbie Fowler menyifatkan keputusan itu sebagai 'satu kekacauan'. - Agensi

Berita Harian X