Rabu, 18 Julai 2018 | 8:57am
DIDIER Deschamps. - Foto EPA

'Selamat datang ke kelab kami'

BERLIN: Franz Beckenbauer, yang memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan jurulatih, mengalu-alukan kemasukan Didier Deschamps "ke kelab kami!" semalam.

Beckenbauer menang Piala Dunia sebagai pemain bersama Jerman Barat pada 1974 dan sebagai pengurus Jerman pada 1990. Beliau mengikut jejak langkah Mario Zagallo dari Brazil, yang menang sebagai pemain pada 1958 dan 1962, sebagai ketua jurulatih pada 1970 dan sebagai penolong jurulatih pada 1994.

Deschamps menang sebagai pemain pada 1998 dan Ahad lalu, berjaya sebagai pengurus apabila Perancis menundukkan Croatia 4-2 pada final di Moscow.

"Kini kami ada tiga orang," kata Der Kaiser memberitahu akhbar Jerman, Bild. "Mungkin kami patut mengadakan pertemuan, minum bersama."

Seperti Beckenbauer, Deschamps mengetuai pasukannya meraih kejuaraan Piala Dunia. Ia jelas penting menurut warga Jerman itu.

"Secara automatik anda akan belajar bagaimana mengetuai pasukan," kata Beckenbauer. "Ia kemudian membantu saya sebagai jurulatih.

"Bagi semua pasukan pilihan Piala Dunia, hanya Perancis bertindak konsisten sepanjang kejohanan itu."

Beckenbauer berasakan kelab itu sepatutnya mempunyai lebih ramai ahli.

"Ia mengejutkan kerana dalam era Piala Dunia yang terlalu panjang iaitu sejak 1930, ia tidak ramai," katanya.

"Sesetengah sudah mencubanya, (Diego) Maradona sebagai contoh, tapi tidak berjaya." - AFP

Berita Harian X