Jumaat, 20 Julai 2018 | 6:59am
Alisson Becker. - Foto REUTERS

Liverpool dapatkan Alisson dengan rekod RM343 juta

LIVERPOOL: Liverpool hari ini menandatangani penjaga gol Brazil, Alisson dari Roma dengan rekod bernilai 72.5 juta euro (RM343 juta) dari kelab Itali itu.

"Pemain berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak panjang dengan Reds selepas menjalani ujian perubatan dan melengkapkan formaliti perpindahannya di (pusat latihan) Melwood hari ini," kata laman sesawang Liverpool.

Roma mengesahkan nilai perpindahan Alisson yang tampil pada Piala Dunia di Russia.

"ASRoma boleh mengesahkan bahawa Alisson Becker melengkapkan perpindahan ke Liverpool, dalam perjanjian bernilai 72.5 juta euro (RM343 juta)," kata kelab Serie A itu menerusi Twitter.

Alisson adalah pemain utama ditandatangani Jurgen Klopp yang terdesak untuk mendapatkan penjaga gol baru bagi menggantikan Loris Karius berikutan persembahan teruknya pada final Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid.

Chelsea juga dikaitkan dengan Alisson yang memulakan kariernya bersama Internacional di Brazil sebelum berhijrah ke Roma dua tahun lalu.

"Saya sangat gembira, ia impian menjadi kenyataan untuk memakai jersi berprestij kelab sebesar ini yang sentiasa mencipta kemenangan," kata Alisson kepada liverpoolfc.com.

"Dalam aspek kehidupan dan karier, ia langkah besar buat saya menjadi sebahagian kelab dan keluarga ini. Anda boleh pasti saya akan memberikan yang terbaik."

Alisson berkata penyerang Liverpool, Mohamed Salah - juga bekas pemain Roma  - menggalakkannya menyertai kelab gergasi Anfield itu.

"Semalam dia menghantar mesej berkata: 'Hey, apa lagi yang awak tunggu?' Ketika perbincangan sedang berlangsung pada tahap akhir, saya membalas: 'Tenang, saya dalam perjalanan!' - AFP

Berita Harian X