Sabtu, 21 Julai 2018 | 12:57am

152 rakyat Nigeria terkandas di Russia pulang

ABUJA, Nigeria: Nigeria mengatur perjalanan pulang 152 warga negaranya yang terkandas di Russia selepas Piala Dunia melabuhkan tirai, kata jurucakap hal ehwal luar negaranya, hari ini.

Kejohanan yang berlangsung selama sebulan itu, yang menarik jutaan peminat dari seluruh dunia berakhir Ahad lalu dengan kejuaraan menjadi milik Perancis.

Kerajaan Nigeria berkata ramai warga negaranya terkandas berikutan ketiadaan wang.

"Keseluruhan 152 warga Nigeria menaiki kapal terbang dan dalam perjalanan ke Abuja," kata jurucakap kementerian hal ehwal luar negara Nigeria, Tope Elias-Fatile. 

Katanya, kapal terbang yang membawa semua yang terkandas dijangka tiba di ibu negara Nigeria itu sekitar 1.00 pagi ini.

Kementerian luar negara Nigeria semalam berkata kesemua yang terbabit akan menaiki penerbangan Ethiopian Airlines.

Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari pada awal minggu ini berkata semua warga negaranya yang terkandas perlu dibawa pulang. - Reuters

Berita Harian X