Ahad, 22 Julai 2018 | 8:12pm
PETR Cech

Arsenal tak boleh kehilangan Cech - Seaman

LONDON: Pengurus Arsenal, Unai Emery melakukan tindakan yang salah jika menyingkirkan Petr Cech selepas ketibaan penjaga gol baharu Bernd Leno, kata legenda Gunners, David Seaman.

Leno menyertai kelab utara London itu dari Bayer Leverkusen dengan nilai STG19.2 juta pound (RM102.44 juta) musim panas ini sekali gus menjadi antara pemain yang dibeli Emery sejak membimbing Arsenal.

Pemain berusia 26 tahun itu dijangka akan menggantikan penjaga gol utama Arsenal, Cech pada musim ini tetapi Seaman memberi amaran ia bukan tindakan yang tepat kerana Leno belum membuktikan dirinya di England.

"Saya tidak fikir dia (Cech) akan terus disingkirkan," kata bekas penjaga gol kebangsaan England, Seaman yang menghabiskan 13 tahun bersama Arsenal.

"Kamu tidak boleh mengabaikan pemain yang berpengalaman yang pernah memenangi segala-galanya di Liga Perdana Inggeris dan dia juga sudah memenangi Liga Juara-Juara.

"Jangan menyisihkannya. Masih banyak yang dia boleh tawarkan. Apa yang menariknya ialah Petr menggunakan jersi nombor satu. Jadi ia bermakna dia mahu kekal untuk tempoh yang lebih lama.

"Ia pasti sukar. Apa yang saya bayangkan ialah salah seorang (Cech atau David Ospina) akan keluar. Saya sentiasa berhati-hati apabila ada penjaga gol datang ke liga perdana kerana ia memerlukan masa untuk mereka membiasakan diri.

"Jika kamu melihat kembali kepada David De Gea, dia benar-benar bergelut pada musim pertamanya bersama Manchester United tetapi dia berusaha dengan bersungguh-sungguh sejak itu.

"Jadi jika Leno diberikan nombor satu jadi sesuatu yang menarik bagaimana mengadaptasi dengan Liga Perdana."

Leno sudah melakukan lebih 300 penampilan bersama Leverkusen sebelum menyertai Gunners dan menyarung jersi kebangsaan Jerman sebanyak enam kali. - Agensi

Berita Harian X