Isnin, 23 Julai 2018 | 2:04pm
DAVID Seaman.
DAVID Seaman.

Seaman yakin Cech masih unggul

LONDON: Pengalaman dimiliki penjaga gol Arsenal Petr Cech akan membantunya untuk kekal sebagai pilihan utama walaupun dengan ketibaan Bernd Leno dari Jerman, kata bekas penjaga gol David Seaman.

Leno yang tiba dari Bayer Leverkusen, dilihat sebagai pengganti Cech untuk jangka masa panjang. Seaman bagaimanapun percaya penjaga gol berusia 36 tahun itu masih mempunyai kualiti dan pengalaman untuk menghalang Leno daripada mengisi kesebelasan utama.

"Dia (Cech) masih mempunyai kualiti hebat dan dia tidaklah mengharungi musim yang buruk atau seumpamanya, dia masih cemerlang," kata Seaman yang memenangi tiga gelaran liga ketika bersama Arsenal.

"Memang dia semakin berusia tetapi akan menyesuaikan diri dengan permainan, itu yang saya alami, anda mungkin tidak secekap sebelumnya tetapi pengalaman akan meletakkan anda di posisi yang tepat."

Ketibaan Cech dari Chelsea pada tahun 2015 meletakkan David Ospina sebagai penjaga gol simpanan dan penjaga gol Colombia itu hanya tampil 11 kali dalam aksi Liga Perdana Inggeris selepas itu.

Menurut Seaman perpindahan Ospina ke Utara London akan memberikan impak kepada masa depan Ospina di kelab berkenaan.

"Saya tidak rasa Ospina akan gembira menjadi nombor dua kerana sudah lama dia mengisi tempat itu. Dia pasti mahu beraksi dan tidak boleh selamanya menjadi pemain simpanan," katanya.

Arsenal, yang menamatkan kempen musim lalu di tangga keenam, memulakan kempen liga menentang juara bertahan Manchester City pada 12 Ogos. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X