Khamis, 2 Ogos 2018 | 1:57pm
PENJAGA gol baharu Kelantan, Mohd Faridzuean Kamaruddin. - Foto fail NSTP/ Rasul Azli Samad

Faridzuean tagih peluang kedua  

KOTA BHARU: Penjaga gol baharu Kelantan, Mohd Faridzuean Kamaruddin, menjanjikan aksi cemerlang jika dia sekali lagi terpilih beraksi pada pertemuan dengan Kedah untuk aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Ahad ini.

Faridzuean mengakui, ketika ini semangatnya kian melonjak selepas diberi peluang beraksi pada perlawanan terakhir Liga Super yang berkesudahan Kelantan menang ke atas Pahang 2-1, Ahad lalu.

"Saya mahu membawa Kelantan mara lebih jauh, dan sebagai pemain baharu dalam pasukan, saya berharap dapat memberi aksi secara konsisten untuk membuktikan kemampuan diri.

"Walapun diundi dalam  kumpulan C bersama pasukan berstatus elit seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah namun, saya bersedia menggalas tugas dengan komitmen yang tinggi.

"Jika bertemu pasukan pilihan, saya rasa inilah masanya untuk membuktikan kepada mereka peningkatan yang ada pada saya sejak pulang ke pangkuan negeri kelahiran sendiri," katanya.

Faridzuean, 23, yang juga bekas penjaga gol Sime Darby dan Melaka United (MU) juga berkata, dia sudah mengamati rentak serangan Kedah pada pertemuan sepanjang saingan Liga Super dan dapat menjangkakan corak permainan pada pertembungan akan datang.

"Saya sudah bersedia dan kian serasi dengan rakan sepasukan. Daripada situ.. saya dapat keyakinan untuk turun dengan persembahan yang terbaik buat kali kedua bersama pasukan.

"Sama ada saya diturunkan atau tidak, Saya serahkan kepada Jurulatih, Yusri Che Lah  untuk membuat perancangan.

"Saya tidak mahu terlalu yakin dan sekiranya saya diberi peluang menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol utama sepanjang saingan Piala Malaysia, Insya-Allah saya akan lakukan aksi terbaik," katanya.

Berita Harian X