Sabtu, 4 Ogos 2018 | 1:50pm
DATUK Ong Kim Swee. - Foto Saddam Yusoff

Perancangan Kim Swee berubah lagi

KUALA LUMPUR: Persiapan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara ke Sukan Asia Jakarta-Palembang berubah lagi susulan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terkeluar daripada Kumpulan E.

Pada undian kali ketiga bagi acara bola sepak Sukan Asia semalam, UAE yang sebelum ini diundi bersama Malaysia, Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain berpindah ke Kumpulan C bagi menggantikan Iraq yang menarik diri Rabu lalu.

Justeru, pengurus pasukan B-23, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan anak buah Kim Swee akan merangka satu lagi aksi persahabatan selepas pulang dari China, Khamis ini.

"Saya sudah menghubungi jurulatih (Kim Swee) dan beliau mungkin akan mengatur satu lagi perlawanan persahabatan Jumaat ini, tapi keputusannya selepas mendapat jadual penuh Sukan Asia.

"Perancangan pasukan akan berubah lagi, tapi kali ini berubah ke arah yang lebih baik buat pasukan. Jika mengikut jadual asal, pasukan tidak cukup rehat apabila terus berlepas ke Jakarta dari China kerana 10 Ogos sudah ada perlawanan dan 12 Ogos akan beraksi lagi.

"Jadi dengan penjadualan semula nanti saya fikir pemain akan lebih selesa dan jurulatih juga dapat memanfaatkan masa yang lebih panjang untuk mempersiapkan pasukan," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Sebelum ini, perancangan awal Kim Swee untuk menghadapi Sukan Asia terganggu apabila terpaksa membatalkan aksi persahabatan dengan skuad B-23 Arab Saudi yang sepatutnya berlangsung pada 9 Ogos gara-gara UAE diundi dalam Kumpulan E pada undian kedua, 25 Julai lalu.

Ia susulan saingan kumpulan itu yang dihuni lima pasukan selepas kemasukan UAE terpaksa dimulakan lebih awal iaitu pada 10 Ogos berbanding jadual asal, 14 Ogos.

Anak buah Kim Swee kini berada di China bagi mengharungi aksi persahabatan dengan skuad B-23 negara itu, esok.

Berita Harian X