Sabtu, 4 Ogos 2018 | 5:56pm
PEMAIN negara, Adam Nor Azlin (kanan) dan Safawi Rashid (kiri) ketika menjalani latihan pada sesi pertama skuad bawah 23 tahun negara. - Foto BERNAMA

Persefahaman lebih penting berbanding kemenangan

KUALA LUMPUR: Bukan kemenangan yang menjadi buruan sebaliknya fokus utama skuad Bawah 23 tahun (B-23) adalah bagi membentuk persefahaman yang lebih baik menjelang sepak mula Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, dua minggu lagi.

Itu matlamat utama yang perlu dicapai pengendali skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee apabila anak buahnya berpeluang menguji skuad B-23 China pada aksi persahabatan di Pusat Sukan Olimpik Stadium Changzhou, malam esok.

"Saya ingin melihat kombinasi antara pemain sedia ada dan paling penting adalah kita bukan memikirkan mengenai keputusan tetapi persefahaman memandangkan kita hanya menjalani latihan selama seminggu.

"Aksi bertemu China ini adalah perlawanan pertama buat skuad B-23 sejak kali terakhir kita bertemu Korea Selatan di peringkat antarabangsa, Januari lalu. Jadi saya mengharapkan perlawanan ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pasukan sebagai persiapan untuk mengharungi Sukan Asia itu nanti.

"Sama ada saya akan menurunkan barisan pemain yang terkuat, ia terpulang dalam situasi tertentu namun bagi kesebelasan utama untuk aksi esok, saya akan menurunkan pemain yang cergas,"  katanya pada sidang media pra perlawanan itu, hari ini.

Malaysia dan China masing-masing akan beraksi pada Sukan Asia 2018 yang menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama juara bertahan, Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain sementara China berada dalam Kumpulan C bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Timor Leste dan Syria.

Mengulas lanjut persiapan skuad B-23, Kim Swee mengakui banyak perkara yang perlu dilakukan memandangkan sepak mula kejohanan hanya berbaki 11 hari lagi.

"Tiada tumpuan spesifik yang perlu diberikan kerana kita perlu mengambil kira secara keseluruhan baik daripada segi bertahan mahupun menyerang.

"Apa yang mustahak adalah pemain harus berusaha untuk bekerjasama antara satu sama lain di dalam dan juga di luar padang," katanya.

Berita Harian X