Selasa, 7 Ogos 2018 | 9:59am
UNAI Emery. - Foto REUTERS

Percaturan Emery bakal jadi tumpuan

LONDON: Unai Emery bakal melangkah ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai pengurus Arsenal tanpa sebarang ‘permaidani merah’ selepas terpaksa membentuk semula pasukan ketika menggantikan posisi Arsene Wenger.

Pengendali dari Sepanyol ini akan berdepan aksi pembukaan menentang juara bertahan, Manchester City di laman sendiri sebelum berkunjung ke Chelsea untuk perlawanan kedua.

Tiada lagi masa untuk berbulan madu, tetapi peminat sedar risiko yang ditanggung Emery selepas meninggalkan kelab mewah, Paris St Germain (PSG) dan bakal berdepan saingan sukar sejak hari pertama di England.

Namun, sebenarnya Emery datang dengan penampilan lebih mantap serta rekod lebih membanggakan berbanding Wenger.

Beliau meraih tiga musim cemerlang dalam Liga Europa bersama Sevilla dan tahun lalu, meraih kejayaan treble bersama PSG dalam saingan domestik.

Pengendali ini ternyata bukanlah individu yang mempunyai cita-cita singkat, jika dinilai berdasarkan kenyataannya ketika kali pertama ditemuramah media Britain.

“Kami boleh meningkat dengan kelompok pemain ini dan objektifnya ialah mesti bekerja kuat dengan pemain berbakat ini, yang berpontensi menjadi calon juara semua gelaran pada masa akan datang,”

“Selepas dua musim gagal layak ke Liga Juara-Juara, kami akan menggapainya, menikmatinya dan muncul sebagai antara kelab terbaik di Liga Perdana, mungkin juga terbaik di dunia.

Ketika ini, Emery dilihat lebih fokus kepada menguatkan benteng pertahanan yang dilihat kurang stabil di era Wenger pada musim lalu.

Penjaga gol Jerman, Bernd Leno tiba dari Bayer Leverkusen manakala bekas pertahanan Juventus yang juga kapten Switzerland, Stephan Lichtsteiner bakal menambah pengalamannya di barisan belakang.

Pemain Greek, Sokratis Papastathopoulos juga menyertai mereka dari Borussia Dortmund.

Mereka juga mengikat tonggak Uruguay, Lucas Torreira dari Sampdoria, sekali gus menguatkan barisan tengah untuk menyokong gandingan Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang di bahagian serangan. - Reuters.

Berita Harian X