Selasa, 7 Ogos 2018 | 7:45pm
STATUS kecederaan yang dialami Aidil (kiri) dan Syamer menjadi tanda tanya. - Foto NSTP
STATUS kecederaan yang dialami Aidil (kiri) dan Syamer menjadi tanda tanya. - Foto NSTP

Apa khabar Aidil dan Syamer?

KUALA LUMPUR: Status kecederaan yang dialami Aidil Zafuan Abd Radzak dan Syamer Kutty Abba menjadi tanda tanya selepas dua pemain itu berada dalam senarai pemain simpanan Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika menentang MIFA dalam aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia di Larkin Ahad lalu.

Dua pemain itu sebelum ini dilepaskan oleh jurulatih Datuk Ong Kim Swee daripada menyertai skuad bawah 23 tahun (B-23) ke China Khamis lalu bagi persiapan ke Sukan Asia Jakarta-Palembang minggu depan kerana mengalami kecederaan yang dilaporkan mengambil masa untuk pulih.

Bagaimanapun Aidil pemain berusia 31 tahun yang dipanggil untuk mengisi kuota tiga pemain lebih usia dan Syamer, 20, tidak diturunkan dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia itu yang menyaksikan juara Liga Super, JDT tewas 1-2 kepada wakil Liga Perdana, MIFA.

Pengendali kelahiran Melaka itu berkata, pintu masih terbuka bukan saja buat Aidil dan Syamer malah Matthew Davies dan Nor Azam Azih yang sebelum ini tidak mendapat pelepasan Pahang untuk bersama pasukan kerana kempen Piala Malaysia.

"Baik pemain yang cedera dan pemain yang belum melaporkan diri, pintu sentiasa terbuka tetapi pemain yang cedera kita perlu lihat tahap kecederaan mereka, sudah tentu pakar perubatan lebih arif tentang perkara ini.

"Bagi yang belum melaporkan diri pintu sentiasa terbuka, terpulang kepada mereka kerana kita masih ada masa lagi sebelum bertolak ke Jakarta (13 Ogos)," kata Kim Swee.

Bekas jurulatih kebangsaan itu masih menagih kudrat empat pemain itu memandangkan beliau tidak boleh memanggil pemain lain selain daripada senarai 30 pemain yang didaftarkan ke Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Skuad negara yang tewas 1-2 kepada China B-23 dalam aksi persahabatan Ahad lalu bakal tiba di tanah air malam ini sebelum menyambung kembali sesi latihan pusat.

Kim Swee berharap beliau akan dapat mengadakan satu lagi aksi persahabatan pada Jumaat ini sebelum senarai akhir 20 pemain ke Sukan Asia diumumkan.

Malaysia akan memulakan kempen Sukan Asia menentang Kyrgyzstan pada 15 Ogos ini sebelum bertemu juara bertahan Korea Selatan (17 Ogos) dan Bahrain (20 Ogos) dalam Kumpulan E.

Berita Harian X