Ahad, 12 Ogos 2018 | 12:28pm
MUHD Shahrel Fikri Md Fauzi. - Foto Muhd Asyraf Sawal
MUHD Shahrel Fikri Md Fauzi. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Abu Bakar rela lepaskan Eky lagi

KUALA LUMPUR: Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim bersedia sekali lagi untuk ‘kehilangan’ penyerang berbisanya, Shahrel Fikri Md Fauzi sekiranya dia terus mendapat tawaran untuk beraksi di luar negara.

Jelas Abu Bakar, dia tidak berdepan masalah untuk ‘mengorbankan’ penyerang terbaiknya yang kini menjalani tempoh pinjaman lima bulan bersama kelab Nakhon Ratchasima jika pasukan Liga Divisyen 1 Thailand itu terus berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada musim hadapan.

“Sama ada dia akan terus bersama Nakhon Ratchasima, itu bergantung kepada prestasi semasanya dan juga keputusan sama ada dia mahu terus beraksi di luar.

“Namun sebagai jurulatih, saya akan terus memberi galakan padanya untuk mengambil cabaran baharu dan jika ada tawaran lain, saya rela melepaskannya untuk dia mengejar cita-citanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rabu lalu, Shahrel akhirnya membuka akaun gol bersama Nakhon Ratchasima selepas dua bulan bersama pasukan Liga Divisyen 1 Thailand itu.

Selepas kempunan untuk menjaringkan gol pada aksi liga, bekas penyerang PKNP FC itu mampu tersenyum apabila berjaya menjaringkan gol sulung bersama pasukannya itu pada aksi suku akhir Piala Liga Thailand bertemu Ranong United.

Dia memanfaatkan hantaran lambung daripada rakan sepasukannya sebelum melakukan voli menggunakan kaki kanan yang menerjah gawang Ranong United pada minit ke-72, sekali gus membolehkan pasukan ‘The Swat Cat’ itu selesa berkelebihan tiga gol.

Pencapaian ini sekali gus menyaksikan dia muncul sebagai rakyat Malaysia pertama berjaya menjaringkan gol di bumi ‘Gajah Perang’ itu, meskipun menjadi pemain ketiga beraksi di negara terbabit selepas bekas pemain Pahang, Kiko Insa dan bekas pemain FELDA United, Curran Ferns.

Mengulas lanjut jaringan sulung yang dilakar pemain lebih mesra disapa ‘Eky’ itu, Abu Bakar sendiri sudah menjangkakan betapa anak buahnya itu mampu untuk meledak gol meskipun beraksi dalam saingan yang lebih sukar.

“Memang saya jangkakan Shahrel pasti dapat menjaringkan gol kerana sikapnya yang sentiasa berusaha untuk menambahkan keyakinan ketika beraksi.

“Syukurlah dia berjaya meledak gol pertamanya dan saya percaya lebih banyak gol dapat disumbangkan olehnya selepas ini,” katanya.

Berita Harian X