Isnin, 13 Ogos 2018 | 4:51pm
BADDROL Bakhtiar - Foto Mohd Fadli Hamzah

Baddrol mahu pemain lebih tenang

SEPANG: Kapten skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Baddrol Bakhtiar mahu rakan sepasukan lebih tenang untuk mengharungi kempen Sukan Asia Jakarta-Palembang sekali gus melupakan terus episod hitam di Shah Alam, Jumaat lalu.

Pemain Kedah berusia 30 tahun yang dipanggil jurulatih Datuk Ong Kim Swee bagi kuota pemain lebih umur itu berkata, semua pemain harus menjadikan insiden pergaduhan ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai pengajaran.

“Bagi saya sendiri, saya jadikan insiden malam itu sebagai pengalaman dan pengajaran, harap kita lupakan apa yang terjadi dan memberi fokus terhadap kempen Sukan Asia,” kata pemain tengah itu.

Selain Baddrol, seorang lagi pemain pertahanan Kedah, Rizal Ghazali,26, turut mengisi kuota pemain lebih umur manakala pertahanan Johor Darul Ta’zim Aidil Zafuan Abd Radzak, 30, tidak dapat bersama akibat kecederaan.

Dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, pemain dan pegawai UAE bertindak ganas menyerang pemain dan pegawai skuad negara angkara gagal mengawal emosi selepas ketinggalan 2-0. Mujur tiada pemain negara mengalami kecederaan dalam insiden berkenaan.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berlepas ke Jakarta hari ini sebelum memulakan kempen Kumpulan E bertemu Kyrgyzstan di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Rabu ini, diikuti aksi bertemu juara bertahan Korea Selatan (17 Ogos) sebelum menamat perlawanan peringkat awal dengan menentang Bahrain (20 Ogos).

“Saya harap kemenangan ke atas UAE itu sebagai titik permulaan untuk menentang Kyrgyzstan pada perlawanan pertama. Kita mahukan tiga mata sebelum berjumpa Korea Selatan,” kata Baddrol yang pernah membantu skuad B-23 memenangi pingat emas Sukan SEA Jakarta 2011.

Berita Harian X