Isnin, 13 Ogos 2018 | 5:58pm
KETUA Jurulatih B-23, Datuk Ong Kim Swee memantau sesi latihan akhir sebelum beraksi di Sukan Asia 2018. - Foto MOHD YUSNI ARIFFIN

Kim Swee ada pelan di Bandung

SEPANG: Pengendali skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee percaya mereka perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya masalah apabila anak buahnya tiba di Bandung bagi persiapan terakhir Sukan Asia Jakarta-Palembang hari ini.

Jelasnya, pelan alternatif perlu difikirkan lebih awal andai sebarang perubahan berlaku membabitkan sesi latihan seperti yang berlaku ke atas skuad Vietnam.

“Memang kita mengharapkan penganjuran yang cukup baik, kita tahu pihak tuan rumah Indonesia banyak melakukan perubahan dari segi persiapan dan saya harap tidak berlaku perkara-perkara yang tak diingini dari segi jadual latihan, padang latihan.

“Di sini kita perlu ada pelan kedua, pelan B atau pelan C jika berlaku tiada padang untuk kita berlatih, kita perlu mencari alternatif lain,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum pasukannya berlepas ke Jakarta.

Sebelum ini, insiden pasukan Vietnam berlatih di jalan tar di tempat penginapan kecoh di media sosial. Bagaimanapun ada pihak menampilkan penjelasan bahawa ia berlaku kerana pihak pengurusan pasukan Vietnam enggan berlatih di padang latihan yang dibenarkan.

Sementara itu Kim Swee berlepas ke Jakarta bersama 20 pemain hari ini dengan keputusan mengejut apabila menggugurkan Danial Amier Norhisham akibat masalah kecederaan dan memasukkan semula pemain pertahanan Rodney Celvin Akwensivie yang digugurkan semalam.

Bekas jurulatih kebangsaan itu bagaimanapun percaya, ketiadaan Danial tidak akan menjejaskan persiapannya kerana pemain posisi lain boleh mengisi bahagian tengah.

“Dalam aksi persahabatan dengan China dan UAE, Danial tidak diturunkan sebaliknya hanya Baddrol Bakhtiar, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Syahmi Safari bermain di posisi tengah. Saya ada beberapa pilihan pemain lagi jika saya perlu melakukan perubahan nanti.

“Irfan Zakaria bermain di bahagian tengah bersama Kuala Lumpur, (R) Kogileswaran juga boleh bermain di posisi itu jadi saya tak nampak sebarang masalah,” jelas Kim Swee.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Kyrgyzstan di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung Rabu ini, diikuti bertemu juara bertahan Korea Selatan (17 Ogos) dan Bahrain (20 Ogos).

Berita Harian X