Selasa, 14 Ogos 2018 | 8:18pm
ONG Kim Swee - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kim Swee idam tiga mata ke atas Kyrgyzstan

 

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 tahun negara (B-23) bakal membuka kempen Sukan Asia Jakarta-Palembang menentang Kyrgyzstan esok dengan misi wajib menang bagi dijadikan pembakar semangat sebelum berdepan aksi lebih mencabar dalam Kumpulan E.

Jika mengambil kira saingan dalam kumpulan itu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tidak boleh tercicir mata pada aksi pertama memandangkan dua lagi pencabar iaitu juara bertahan, Korea Selatan dan Bahrain pasti lawan lebih sukar.

Bagaimanapun Kim Swee tidak mahu mengambil mudah kerana Kyrgyzstan baginya tidak ubah seperti satu lagi pasukan kuat Asia, Uzbekistan.

“Kita tahu Kyrgyzstan mempunyai corak permainan seperti Uzbekistan, teknik dan kualiti yang baik. Kita tak boleh ambil mudah, mereka bermain dalam liga kompetitif. 

“Analisa yang dapat saya lakukan cuma beberapa perlawanan mereka yang agak lama sebelum Kejohanan AFC lagi. Saya tahu serba sedikit prestasi mereka,” katanya.

Justeru, aksi menentang Kyrgyzstan bukan lagi pentas eksperimen buat Kim Swee yang bersedia menurunkan skuad terbaik di  Stadium Si Jalak Harupat, Bandung esok.

“Ini perlawanan yang penting, kita harus turunkan pemain terbaik, tak ada istilah ambil mudah. Saya jangka perlawanan sengit dan penting untuk kita mendapat keputusan cukup baik.

“Setiap perlawanan kita inginkan kemenangan, saya tak letak sasaran sama ada mahu satu atau tiga mata pada perlawanan tertentu, yang penting kita dapat keputusan positif untuk layak ke peringkat seterusnya,” katanya.

Ini ujian kedua terbesar buat Kim Swee selepas membawa pasukannya melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu.

Empat tahun lalu di Incheon, Malaysia terkandas di peringkat kumpulan selepas hanya menang sekali ke atas Laos 4-0 namun tewas 0-3 di tangan Korea Selatan dan Arab Saudi.

Kim Swee dijangka menurunkan barisan pemain sama ketika menang 2-0 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu dengan pemain senior Baddrol Bakhtiar bakal bergelar kapten.

Berita Harian X