Jumaat, 17 Ogos 2018 | 10:56pm
ONG Kim Swee - Foto BERNAMA

Kekuatan mental jelma kemenangan - Kim Swee

 

KUALA LUMPUR: Kekuatan mental jelas menjadi kunci kepada kejayaan skuad bola sepak negara ketika melakar kejutan terbesar membenam Korea Selatan 2-1 pada aksi kedua Kumpulan E Sukan Asia Palembang-Jakarta di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, sebentar tadi.

Pengendali negara Datuk Ong Kim Swee berkata, semangat juang tinggi serta disiplin pemain adalah senjata utama kejayaan pasukan melepasi ujian getir itu yang turut menyaksikan mereka mara ke pusingan kedua selepas meraih enam mata maksimum setakat ini.

"Ia satu kepujian yang harus diberikan kepada semua pemain. Mereka bermain bermati-matian walaupun kita tidak bermain seperti apa yang kita inginkan,” kata Kim Swee.

"Tetapi keputusan serta kesungguhan para pemain tak boleh dinafikan. Ini menunjukkan kita mempunyai mentaliti yang cukup baik. 

"Paling mustahak, pasukan dapat meraih keputusan cukup positif di mana kemenangan ini melayakkan kita ke pusingan seterusnya lebih awal." 

Dalam aksi itu, penyerang Johor Darul Ta'zim, Muhammad Safawi Rasid meledak dua gol untuk membantu Malaysia menamatkan kemarau kemenangan selama 44 tahun ke atas Korea Selatan di temasya sukan kedua terbesar dunia itu.

Dua jaringannya terhasil seawal minit kelima selepas bijak mengambil kesempatan di atas kesilapan penjaga gol lawan, Song Bumkeun yang gagal menangkap kemas bola sebelum dia tenang menolak masuk ke gawang yang sudah terbuka luas.

Safawi sekali lagi meledak pada penghujung babak pertama sebelum penyerang Korea Selatan, Hwang Ui Jo merapatkan kedudukan 2-1 berbaki tiga minit sebelum perlawanan berakhir. 

"Kebiasaannya memang berlaku, apabila kita mendahului dan bermain dengan pasukan Korea yang mempunyai pemain bertaraf bintang dan mereka mampu untuk membuat kebangkitan.

"Namun kita kekal fokus walaupun dibolosi pada lima minit terakhir dan akhirnya kita berjaya dengan kesungguhan yang ditunjukkan pemain," katanya.

Selepas ini skuad B-23 akan melengkapkan jadual dengan menentang Bahrain di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang Isnin ini, manakala Korea Selatan akan bertemu Kyrgyzstan.

Berita Harian X