X
Sabtu, 18 Ogos 2018 | 10:42am
PEMAIN pertahanan Reims, Romain Metanire (kiri) mengasak pemain Lyon, Bertrand Traoré pada perlawanan Reims menentang Lyon. - Foto AFP
PEMAIN pertahanan Reims, Romain Metanire (kiri) mengasak pemain Lyon, Bertrand Traoré pada perlawanan Reims menentang Lyon. - Foto AFP

Reims 'kejutkan' Lyon

 REIMS, Perancis: Pendatang baharu, Reims melonjak ke tangga teratas Ligue 1 apabila berjaya mengejutkan Lyon 1-0 untuk membolehkan mereka mencatat kemenangan kedua berturut-turut.

Jaringan tunggal pada aksi berkenaan dihasilkan penyerang daripada Argentina, Pablo Chavarria selepas 32 minit perlawanan berlangsung.

Ia memadai buat Reims sekali lagi memungut mata penuh selepas membuka kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas pasukan kendalian Patrick Vieira, Nice minggu lalu.

“Ia permulaan impian,” kata penjaga gol Reims, Edouard Mendy. “Kami bekerja sepanjang musim lalu untuk berada di sini dan sekarang kami mahu menunjukkan apa yang mampu kami lakukan.

“Selepas dua perlawanan menentang Nice dan Lyon, masih ramai yang tidak menyangka kami mendapat enam mata.

“Sejak saya kanak-kanak lagi, saya mengimpikan untuk beraksi dalam liga elit. Ia satu imbuhan yang hebat hari ini, tetapi kami tahu inilah tugas yang perlu kami harungi setiap minggu.”

Sebaik Chavarria membuka tirai jaringan menerusi tandukan daripada hantaran lintang Ghislain Konan, Reims kemudiannya terus ‘berkampung’ di kubu sendiri seperti sama yang mereka lakukan ketika berdepan Nice minggu lalu.

Lyon mempunyai peluang terbaik untuk menyamai kedudukan di hujung perlawanan, tetapi tandukan kaptennya Marcelo gagal menemui gawang selepas menyambut sepakan bebas kemas daripada Memphis Depay.

“Kami diperangkap,” kata perancang tengah Lyon, Lucas Tousart. “Mereka bertahan dengan baik dan kami tidak tahu bagaimana untuk mengatasi keampuhan pertahanan mereka.” – AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X