Khamis, 6 September 2018 | 1:10pm
SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bolasepak Asia, Datuk Windsor Paul John. - Foto AFP
SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bolasepak Asia, Datuk Windsor Paul John. - Foto AFP

AFC sedia anjur Liga Negara Negara Asia

KUALA LUMPUR: Selepas Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) tampil dengan idea Liga Negara Negara Eropah, format pertandingan sama mungkin akan dapat disaksikan di benua Asia selepas ini.

Ia susulan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi bayangan badan induk itu sedia mempertimbangkan untuk mengikut jejak langkah benua terbabit bagi menganjurkan perlawanan persahabatan yang dilihat akan meningkatkan lagi tahap kompetitif setiap perlawanan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John tidak menolak kemungkinan mengenai penganjuran Liga Negara Negara Asia dengan mengikut format sama yang digunakan oleh UEFA namun menjelaskan masih terlalu awal untuk membincangkan cadangan ini dengan lebih lanjut.

“Cadangan (Liga Negara Negara Asia) itu memang baik tetapi kita akan mengkaji semua pertandingan AFC dalam masa terdekat untuk memastikan ia selaras dengan visi dan misi AFC,” kata Windsor.

“Kebarangkalian untuk AFC tampil dengan pertandingan sedemikian memang ada namun ia memerlukan kajian lebih mendalam sebelum dapat diimplementasikan tanpa sebarang masalah.”

Terdahulu, UEFA memperkenalkan Liga Negara-Negara Eropah sebagai satu usaha mengurangkan aksi persahabatan yang tidak bermakna selain memberi peluang kepada setiap negara untuk berentap dengan lawan yang sama kuat.

Pertandingan yang mula diperkenalkan pada tahun ini membabitkan penyertaan 55 negara di benua itu dan dibahagikan dalam empat liga mini (Liga A, B,C, D) dengan kedudukan setiap pasukan dalam liga ditentukan berdasarkan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Liga A akan dibarisi 12 pasukan terbaik dunia dan 12 pasukan terbaik seterusnya akan berada dalam Liga B, 15 pasukan terbaik seterusnya dalam Liga C dan baki 16 pasukan ditempatkan dalam Liga D.

Semua pasukan kemudiannya diundi ke dalam kumpulan kecil (Kumpulan 1, 2, 3 ,4) di setiap liga yang menyaksikan pasukan boleh disingkirkan ke liga lebih bawah dan dan dipromosi di penghujung setiap pusingan perlawanan.

Bukan sahaja UEFA, Konfederasi Bolasepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (CONCACAF) mengambil pendekatan sama apabila memperkenalkan Liga Negara Negara CONCACAF yang turut bermula tahun ini.

Sebelum ini, format sama pernah digunakan untuk aksi persahabatan pra-musim menerusi penganjuran Piala Juara Juara Antarabangsa (ICC) dan Trofi Liga Perdana Asia namun ia sekadar membabitkan penyertaan kelab.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X