Jumaat, 7 September 2018 | 4:23pm
TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi. - Foto Khairunisah Lokman
TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi. - Foto Khairunisah Lokman

FAM sokong hasrat AFC

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik hasrat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengenai kesediaan mereka untuk menganjurkan Liga Negara-Negara Asia.

Timbalan Presidennya, Datuk Yusoff Mahadi menyifatkan cadangan itu sebagai langkah yang sesuai untuk meningkatkan lagi nilai kompetitif sekali gus mengelak pasukan daripada ‘melarikan diri’ apabila enggan beraksi selepas perlawanan persahabatan diatur.

Namun, Yusoff mengakui cadangan terbabit harus diperhalusi oleh badan induk terlebih dahulu dengan semua pasukan di Asia perlu mendapat penerangan lanjut bagi mengelak masalah timbul selepas ia dilaksanakan nanti.

“Sudah tentu FAM menyokong penuh sebarang perubahan yang dapat membantu semua pasukan mendapatkan aksi kompetitif dengan lebih baik dan tersusun.

“Apapun, pelaksanaannya memerlukan kajian mendalam memandangkan jika hendak dibandingkan dengan Eropah, benua itu tidak begitu besar dan jarak antara negara juga dekat.

“Ia jauh berbeza dengan benua Asia di mana dalam hal ini, ia membabitkan faktor logistik dan kesediaan semua pasukan untuk menempuh jarak perjalanan jauh bagi aksi persahabatan.

“Apa yang saya lihat adalah penyusunan jadual oleh AFC akan menjamin setiap pasukan mematuhi jadual perlawanan dan tiada timbul masalah pasukan membatalkan aksi perlawanan,” katanya.

Terdahulu, selepas Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) tampil dengan idea Liga Negara-Negara Eropah, format pertandingan sama mungkin akan dapat disaksikan di benua Asia selepas ini.

Ia selepas AFC sedia mempertimbangkan untuk mengikut jejak langkah benua terbabit bagi menganjurkan aksi persahabatan berbentuk liga yang memberi peluang pasukan berentap dengan lawan yang memiliki kekuatan seimbang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John tidak menolak kemungkinan mengenai penganjuran Liga Negara-Negara Asia dengan mengikut format sama yang digunakan oleh UEFA, namun menjelaskan masih terlalu awal untuk membincangkan cadangan ini dengan lebih lanjut.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X