Isnin, 10 September 2018 | 11:41am
ZINEDINE Zidane.

Zidane sedia kembali bertugas

LONDON: Zinedine Zidane memberi bayangan beliau sudah bersedia untuk kembali bertugas selaku pengurus dalam tempoh terdekat.

Bekas pemain tengah Perancis itu menganggur sejak berundur selaku pengurus Real Madrid, selepas membantu kelab itu memenangi trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut, pada Mei lalu.

Bagaimanapun, menerusi temuramah dengan media Sepanyol, beliau memberitahu bercadang untuk kembali semula dalam tempoh terdekat.

"Ya, sudah tentu. Tidak  lama lagi saya akan kembali menjalani latihan kerana itulah perkara yang saya gemari dan saya lakukan sepanjang hidup," katanya.

Zidane adalah calon pilihan utama untuk menggantikan Jose Mourinho jika pengendali dari Portugal itu dipecat oleh Manchester United.

Bulan lalu, Zidane memberitahu rakan-rakannya, beliau mungkin akan ditawarkan untuk ke Old Trafford jika Mourinho dipecat.

Mourinho kini berada dalam tekanan selepas kecewa dengan musim perpindahan pemain, sebelum diikuti aksi hambar awal musim yang menyaksikan United tewas dua daripada empat perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris.

Malah laporan terbaru mendakwa Zidane sudah bersedia untuk ke Old Trafford dengan mensasarkan beberapa pemain untuk musim perpindahan akan datang.

Toni Kroos, Thiago Alcantara, James Rodriguez dan Edinson Cavani adalah antara nama yang Zidane mahukan jika dilantik selaku pengurus United. - Agensi

 

Berita Harian X