Isnin, 10 September 2018 | 3:23pm
PENSYARAH Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim.
PENSYARAH Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim.

Liga Negara-Negara Asia buat jurulatih 'goyang'

KUALA LUMPUR: Penganjuran Liga Negara-Negara Asia yang akan menukar status perlawanan persahabatan kepada pertandingan kompetitif dilihat akan menyekat ‘keinginan’ jurulatih untuk menjalankan eksperimen ke atas pasukan masing-masing.

Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim berkata, dengan kemenangan menjadi buruan setiap pasukan bagi mengutip tiga mata, sudah tentu ada jurulatih yang enggan mengambil risiko untuk melakukan percaturan yang berbeza.

Katanya, aksi persahabatan yang sebelum ini menjadi medan untuk jurulatih menguji kemampuan pemain masing-masing mungkin akan berubah sekali gus menyebabkan ada pemain muda yang terpinggir dan tidak mendapat peluang.

“Secara dasarnya, saya melihat pertandingan ini satu langkah yang baik namun saya bimbang jika matlamat sebenar aksi persahabatan tersasar jauh kerana tiada perkembangan dalam pasukan yang terbabit.

“Ini membabitkan aspek di mana jurulatih tidak berani mengambil pendekatan baharu apabila terpaksa menurunkan barisan pemain dan formasi  yang sama kerana mahu memburu kemenangan sekali gus mengetepikan pemain muda.

“Jika sebelum ini, keputusan aksi persahabatan tidak begitu dititikberatkan memandangkan banyak eksperimen dijalankan tetapi saya khuatir pertandingan ini nanti akan mengganggu perkembangan sesuatu pasukan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut mengenai saingan itu, Zulakbal yang juga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagaimanapun mengakui pertandingan itu memberi peluang kepada skuad kebangsaan menguji kemampuan sebenar mereka di peringkat antarabangsa.

“Sebelum ini, skuad kebangsaan banyak menentang lawan yang boleh dikatakan tidak begitu kuat. Jadi kita sukar untuk menilai kemampuan sebenar pasukan kita.

“Berdasarkan perlawanan bertemu lawan yang setara, ini dapat memberi gambaran penuh terhadap kemampuan pasukan kita sama ada mampu bersaing pada kelas yang sama dan memberi cabaran pada lawan yang lebih kuat,” katanya.

Terdahulu, selepas Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) tampil dengan idea Liga Negara-Negara Eropah, format pertandingan sama mungkin akan dapat disaksikan di benua Asia selepas ini.

Ia susulan bayangan yang diberikan AFC apabila bersedia mempertimbangkan untuk mengikut jejak langkah benua berkenaan bagi menganjurkan perlawanan persahabatan yang dilihat akan meningkatkan lagi tahap kompetitif setiap perlawanan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John tidak menolak kemungkinan mengenai penganjuran Liga Negara-Negara Asia dengan mengikut format sama yang digunakan oleh UEFA namun menjelaskan masih terlalu awal untuk membincangkan cadangan itu dengan lebih lanjut.

Berita Harian X