Ahad, 16 September 2018 | 3:05pm
PEMAIN PKNS FC, Bruno Matos (tengah) diasak pemain PDRM, Woonsub Sin (kiri) dan Argzim Redzovic pada aksi Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. - Foto BERNAMA

Matos senjata rahsia PKNS FC

 

KUALA LUMPUR: Penyerang kelahiran Brazil, Bruno Matos mampu menjadi ‘senjata rahsia’ untuk membantu PKNS FC meneruskan kemaraan lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia, musim ini.

 

Pemain tengah berusia 28 tahun itu diberi tanggungjawab untuk mengemudi jentera serangan selaku penyerang tunggal dan nyata dia membalas kepercayaan dengan meledak hatrik pada aksi bertemu PDRM, malam tadi.

 

Ketiadaan Rafael Ramazotti yang tidak diturunkan tidak memberi kesan kepada pasukan, kerana Matos berjaya memainkan peranannya dengan baik dan membentuk kombinasi baik bersama Romel Morales yang melakukan dua bantuan gol untuknya.

 

“Sebelum ini, kita menggandingkan Matos bersama Ramazotti, namun aksi malam ini (malam tadi), kami tidak menurunkan Ramazotti dan meletakkan Matos sebagai penyerang utama.

 

“Mungkin ini membantu kita melihat daripada sudut yang berbeza khususnya bagi aksi suku akhir nanti,” kata jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal.

 

Pada aksi di Stadium Shah Alam malam tadi, skuad Semut Merah itu menutup aksi peringkat kumpulan dengan penuh bergaya apabila membenam PDRM 5-0, sekali gus membolehkan mereka muncul selaku juara Kumpulan B.

 

Tiga gol berjaya disumbangkan Matos, sementara dua lagi gol hasil jaringan Mohd Jafri Firdaus Chew dan Mohd Faizat Ghazali.

 

Mengulas lanjut mengenai prestasi anak buahnya, Rajagobal berpuas hati selepas menyaksikan barisan pemainnya yang jarang diturunkan merebut peluang dengan baik apabila memperaga aksi memberangsangkan.

 

“Memang ada antara mereka yang jarang beraksi, jadi saya memberi peluang kepada mereka dan mereka membalas kepercayaan dengan aksi yang baik.

 

“Persembahan mereka berjaya membantu pasukan meraih kemenangan tetapi kita tetap perlu bekerja keras untuk aksi suku akhir,” katanya.

  

Berita Harian X