Isnin, 17 September 2018 | 11:19am
JOSE Mourinho. - Foto EPA
JOSE Mourinho. - Foto EPA
PENYERANG Inter, Ivan Perisic (kiri) bertindak menentang pemain pertahanan Parma Riccardo Gagliolo (R) semasa pertandingan sepak bola Italia Serie A antara Inter Milan dan Parma Calcio di Stadium Giuseppe Meazza di Milan, Itali. - Foto EPA
PENYERANG Inter, Ivan Perisic (kiri) bertindak menentang pemain pertahanan Parma Riccardo Gagliolo (R) semasa pertandingan sepak bola Italia Serie A antara Inter Milan dan Parma Calcio di Stadium Giuseppe Meazza di Milan, Itali. - Foto EPA

Inter masih tercari-cari magis Mourinho

MILAN: Lapan tahun sudah berlalu sejak Jose Mourinho mengakhiri tempoh kendalian di Inter Milan dengan noktah gemilang menjulang gelaran Liga Juara-Juara dan kelab gergasi Itali itu masih bergelut untuk mengulangi semula sentuhan magis itu.

Pengendali dari Portugal itu memahat musim paling cemerlang dalam sejarah kelab - kemenangan final 2-0 ke atas Bayern Munich di Santiago Bernabeu untuk melengkapkan tiga gelaran semusim buat kali pertama.

Sejak hari itu, pemenang 18 kali Serie A dan tiga kali gelaran Eropah itu ketandusan kejuaraan dengan Piala Itali 2011 menjadi satu-satunya trofi dimenangi mereka.

Pasukan bimbingan Luciano Spalletti kembali ke saingan Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak kempen 2010-11 awal pagi Rabu ini apabila melayan kunjungan Tottenham di San Siro.

Jangkaan begitu tinggi diletakkan tetapi kepulangan Inter ke dalam kancah tertinggi Eropah itu ‘dicemari’ isu masalah prestasi dengan mereka kini tersadung di kedudukan ke-15 liga dengan hanya satu kemenangan dalam empat perlawanan.

Nerazzurri yang menamatkan saingan liga di kedudukan keempat musim lalu, dilihat sebagai pencabar utama Juventus untuk kempen kali ini selepas membeli pemain seperti Radja Nainggolan, Matteo Politano, Sime Vrsjalko dan Keita Balde Diao.

“Tanggungjawab ini perlu saya pikul sekiranya pemain beraksi di bawah tahap sebenar dan tidak mencapai potensi sepatutnya,” kata Spalletti selepas pasukannya tunduk kepada Parma 0-1, Sabtu lalu.

“Saya perlu fikir bagaimana untuk meningkatkan prestasi pasukan dan melakukan kerja dengan lebih baik kerana saya mempunyai skuad yang kuat.”

Malah, tajuk utama akhbar masih kekal sama sejak Mourinho mengemas begnya untuk ke Real Madrid pada 2010, sejak itu menyaksikan Inter bertukar 11 jurulatih.

“Ia satu krisis... Inter tewas dan gagal memberikan reaksi,” tulis akhbar Gazzetta Dello Sport manakala akhbar Corriere Dello Sport pula menggunakan tajuk “Moral Inter entah ke mana.” - AFP

Berita Harian X