Isnin, 17 September 2018 | 8:26pm
AKSI Bale (kiri) melakukan rembatan ketika menentang Athletic Bilbao pada saingan La Liga di San Mames, semalam. - Foto Reuters

Real kini lebih bersatu - Bale

MADRID: Gareth Bale berkata Real Madrid lebih bekerjasama sebagai satu unit tanpa bekas tonggak Cristiano Ronaldo, selepas penyerang Portugal itu berhijrah ke Juventus pada penamat musim.

Pemain sayap Wales itu melalui tempoh yang baik tanpa kehadiran Ronaldo dan Madrid menang tiga daripada empat perlawanan La Liga setakat ini.

Bale ialah senjata utama Madrid ketika saingan Liga Juara-Juara akan kembali bermula minggu ini dengan Real berdepan Roma awal pagi Khamis ini di Santiago Bernabeu.

“Ia mungkin agak rehat sedikit (tanpa Ronaldo),” kata Bale kepada Daily Mail. “Saya rasa ia lebih kepada berpasukan, lebih banyak bekerjasama sebagai satu unit berbanding seorang pemain.”

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Madrid, Ronaldo menjadi tonggak penting ketika mereka menang tiga gelaran berturut-turut Liga Juara-Juara di bawah kendalian bekas jurulatih Zinedine Zidane, walaupun Bale menjaringkan dua gol berdepan Liverpool ketika menang 3-1 pada final Mei lalu di Kiev.

Bale tampil dari bangku simpanan dan berkata dia tidak gembira apabila tidak diturunkan dalam kesebelasan utama dan kemarahan itu menyebabkan dia menjaringkan gol menarik.

“(Saya memang) marah. Secara jujur agak marah. Ia jelas, saya rasa memang berhak untuk memulakan permainan,” kata Bale. “Saya menjaringkan gol. Memang benar saya rasa sukar untuk mengelak rasa marah itu.” - Reuters

Berita Harian X