Rabu, 19 September 2018 | 11:44am
GAMBAR fail, pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid (tengah) meraikan kemenangan gol bersama rakan pasukannya pada perlawanan Unifi Piala Malaysia JDT menentang MIFA di Stadium Shah Alam. - Foto Aswadi Alias

JDT sudah ada ramuan layan Pahang

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) dianggap sudah mempunyai ramuan terbaik untuk menamatkan badi kekalahan kepada Pahang, sekali gus mampu melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Keyakinan itu disuarakan bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berdasarkan prestasi JDT pada aksi kumpulan terutama ketika mengalahkan MIFA 3-0, Ahad lalu untuk menempah slot suku akhir dengan menjuarai Kumpulan C.

“Memang pada awalnya, prestasi JDT kurang meyakinkan di saingan Piala Malaysia. Tetapi, selepas beberapa perlawanan di bawah Benjamin Mora dan Luciano Figueroa, mereka kembali mendapat rentak.

“Hasilnya, ketika menentang MIFA, saya melihat satu persembahan yang sangat sempurna. Bukan mudah beraksi di tempat lawan dalam keadaan tekanan yang tinggi, kerana perlu menang tetapi JDT ternyata mampu menanganinya.

“Berdasarkan perlawanan itu, saya boleh katakan JDT kini sudah memiliki ramuan yang cukup. Mereka mempunyai pemain berpengalaman, berkebolehan, berdisiplin, komited serta bersemangat tinggi.

“Aidil (Zafuan Abd Radzak) contohnya sangat berpengalaman di benteng, sementara Safawi (Rasid) pula sedang berada pada prestasi terbaik dan pemain import mereka menunjukkan semangat luar biasa.

“Semua faktor itu menjadikan JDT sebuah pasukan lengkap. Saya yakin, pertemuan dengan Pahang kali ini adalah cerita yang berbeza, mereka mampu menamatkan badi kekalahan itu.

“Cuma, sayang, kedua-dua pasukan bertemu terlalu awal, lebih menarik jika JDT-Pahang bertemu di final,” ujar jurulatih yang pernah membimbing Johor pada 1993 hingga 1995.

Rekod pertemuan JDT-Pahang sering tidak memihak kepada Harimau Selatan itu apabila kerap ‘dilanyak’ Tok Gajah.

Pada final Piala Malaysia 2014, mereka tewas 3-5 menerusi sepakan penalti, selepas terikat 2-2 selepas aksi 120 minit.

JDT turut kecundang dalam tiga pertemuan Piala FA bermula dengan kekalahan 1-2 di separuh akhir 2014, disusuli dua kali tewas di peringkat suku akhir dengan agregat 3-4 pada 2017 dan 0-3 pada musim ini.

Sementara itu, Wan Jamak turut meramalkan PKNS akan mengatasi Perak dan Kelantan mengetepikan Sabah untuk mengiringi JDT ke separuh akhir sambil meletakkan peluang sama rata kepada FELDA United dan Terengganu.

Berita Harian X