Khamis, 20 September 2018 | 7:08am
Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo dipujuk rakan sepasukan selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan ketika menentang Valencia dalam aksi pembukaan Kumpulan H, kempen Liga Juara-Juara, pagi tadi. - Foto EPA

Juventus menang, Ronaldo dibuang padang

VALENCIA (Sepanyol): Penampilan pertama Cristiano Ronaldo bagi kempen Liga Juara-Juara bersama Juventus hanya bertahan selama 29 minit, apabila dia dilayangkan kad merah, namun ia tidak menghalang kelab gergasi Itali itu meraih kemenangan 2-0 ke atas Valencia dalam aksi pembukaan Kumpulan H, pagi tadi

Jaringan menerusi sepakan penalti pada setiap babak oleh Miralem Pjanic mengesahkan tiga mata buat pasukan pelawat, dengan Valencia kembali ke kancah elit Eropah selepas dua tahun berakhir dengan kekecewaan.

Ia malam yang amat dinantikan buat Ronaldo dalam saingan Liga Juara-Juara apabila membuat penampilan pertama bersama kelab yang kerap dia kecewakan ketika mewakili Real Madrid.

Bagaimanapun, ia bukan detik yang dibayangkan oleh semua orang yang berada di Mestalla apabila penyerang antarabangsa Portugal itu dibuang padang buat kali pertama dalam 154 penampilannya dalam kejohanan elit Eropah itu.

Selepas aksi bertenaga pada permulaan perlawanan, Ronaldo yang merekod 121 gol Liga Juara-Juara dilihat mengasari pemain pertahanan Valencia, Jeison Murillo ketika dia menanti bola hantaran lintang dalam kotak penalti.

Cristiano Ronaldo (kanan) menutup muka selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan. - Foto EPA

Ia dilihat bukan tindakan melampau yang dilakukan oleh Ronaldo, tetapi pengadil dari Jerman, Felix Brych yang berbincang dengan pembantu pengadil membuat keputusan melayangkan kad merah kepada Ronaldo.

Selepas meninggalkan padang, pemenang lima kali Liga Juara-Juara itu yang menyempurnakan sepakan penalti untuk Real Madrid menyingkirkan Juve dalam aksi suku akhir musim lalu menangis ketika menuju ke bilik persalinan.

Bagaimanapun, beraksi dengan 10 pemain - Juventus masih bernasib baik apabila dua kali dihadiahkan sepakan penalti yang disudahkan oleh Pjanic.

Pemain pertahanan Juventus, Leonardo Bonucci berkata, semangat juang berpasukan membolehkan mereka mengatasi detik sukar dalam perlawanan itu. 

“Kami membuktikan bahawa kami kuat secara berpasukan.

“Kami terus mengekalkan cara permainan kami walaupun dengan 10 pemain. Kami bersama-sama mengharungi kesukaran di akhir perlawanan tetapi kami membuktikan kemampuan sekali lagi malam ini,” katanya.

Layangan kad merah itu kemungkinan akan menyaksikan Ronaldo terlepas perlawanan menentang bekas kelab, Manchester United pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan. – Reuters

Berita Harian X