Jumaat, 21 September 2018 | 4:57pm
FADHLI Shas

Fadhli azam tebus badi

JOHOR BAHRU: Walaupun Johor Darul Ta’zim (JDT) melepasi saingan kumpulan kempen Piala Malaysia namun ada tugasan yang lebih mencabar buat skuad itu pada suku akhir pertama apabila berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

Biarpun ia tampak berliku tetapi tonggak pertahanan JDT, Fadhli Shas jelas mengidam kemenangan buat skuad yang mendapat julukan Harimau Selatan bagi menamatkan badi sering tumpas kepada Tok Gajah dalam saingan kalah mati.

Dia menegaskan keinginan untuk mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu begitu menebal namun tetap berwaspada dengan ancaman skuad kendalian Dollah Salleh yang memiliki kekuatan tersendiri.

“Ia menjanjikan perlawanan menarik memandangkan JDT berstatus juara Liga Super akan berdepan Pahang, juara Piala FA musim ini. Sudah tentu ia menjadi aksi tumpuan dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan.

“Kami pernah dikecewakan oleh Pahang selepas tersingkir dengan agregat 0-3 pada suku akhir Piala FA dan kini kami sekali lagi bertemu pada peringkat sama tapi piala berbeza. Bagi saya itu mungkin sudah suratan dan kami akan turun habis-habisan.

“Benteng pertahanan JDT akan diperkuatkan dengan kehadiran semula Marcos (Antonio) dan ia sekali gus memberi lebih keyakinan kepada pemain untuk memperagakan aksi terbaik serta berusaha menyekat setiap percubaan Pahang,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Rekod JDT bertemu musuh ketat mereka dalam saingan kalah mati kurang memberangsangkan apabila tewas dalam empat perlawanan terakhir termasuk final Piala Malaysia 2014 menerusi sepakan penalti 3-5 sesudah terikat 2-2 selepas 120 minit.

Namun bagi Fadhli, pengalaman pahit sepanjang pertembungan menentang Pahang dalam aksi kalah mati sama ada Piala Malaysia dan Piala FA menjadi lipatan sejarah dan sudah tiba masanya meleraikan badi yang sering menghantui JDT.

Malah katanya, semua pemain JDT cukup bermotivasi selepas menempuh detik cemas sepanjang kempen Piala Malaysia apabila mereka hampir tersingkir pada peringkat kumpulan.

“Sama ada saya diturunkan atau sebaliknya, saya harus bersiap sedia dan sentiasa fokus bagi membantu pasukan memburu kemenangan kerana kami sedar Pahang akan berusaha menang untuk dijadikan bekalan selesa menjelang suku akhir kedua.

“Kami tidak boleh memberi ruang kepada pemain Pahang kerana kami tahu Mohamadou Sumareh dan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) begitu berbahaya jika diberi ruang selain kebijaksanaan Patrick Cruz menyambar peluang,” ujar Fadhli.

Berita Harian X