Khamis, 27 September 2018 | 4:45pm
JURULATIH skuad bawah 16 (B-16) tahun negara, Lim Teong Kim. - Foto BERNAMA

Tiga jam lepas tewas Teong Kim dipecat

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 16 (B-16) tahun negara, Lim Teong Kim menjadi ‘korban’ pertama susulan kegagalan anak buahnya merebut tiket ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan apabila khidmatnya ditamatkan serta merta.

Khidmat bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu sah ditamatkan menerusi satu pengumuman yang dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kira-kira tiga jam selepas skuad kendaliannya sekadar menamatkan saingan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di peringkat kumpulan, hari ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan keputusan itu berkuat kuasa serta-merta atas arahan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Keputusan dibuat berdasarkan prestasi skuad negara yang tidak melepasi saingan peringkat kumpulan.

"Datuk Hamidin sudahpun mengarahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal memanggil Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia FAM untuk mengadakan mesyuarat bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo secepat mungkin.

“Ini bagi membentuk panel pemilihan untuk mencari pengendali baharu skuad B-16 kebangsaan dan cadangan mereka itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diputuskan," katanya menerusi satu kenyataan.

Bagaimanapun, FAM dilihat tidak campur tangan berhubung kedudukan Teong Kim selaku Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan menyerahkan perkara itu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“FAM tidak mengikat sebarang kontrak dengan Teong Kim sebaliknya jurulatih itu mempunyai perjanjian dengan KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kuasa FAM terhad kepada pelantikan ketua jurulatih dan panel penolongnya tetapi Teong Kim masih mempunyai baki kontrak bersama majikannya. Terpulang kepada KBS untuk menentukan masa depan Teong Kim,” kata Stuart.

Skuad B-16 dibarisi kebanyakannya daripada kelompok pertama yang dibentuk menerusi NFDP sejak empat tahun lalu.

Skuad negara melakar kemenangan di saingan pembuka tirai dengan menewaskan Tajikistan 6-2 tetapi tewas 2-4 di tangan Thailand pada aksi kedua sebelum ditundukkan Jepun 0-2 pada aksi terakhir Kumpulan A, hari ini.

Kekalahan itu meleburkan harapan skuad negara untuk mengulangi pencapaian anak didik S Balachandran yang hanya selangkah ke Piala Dunia  B-17 2015 di Chile apabila tewas tipis 1-2 kepada Australia pada suku akhir di Thailand pada 2014.

Berita Harian X