Khamis, 27 September 2018 | 5:55pm
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto MOHD FADLI HAMZAH

Gaji Teong Kim RM175,000 sebulan - Syed Saddiq

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta Lim Teong Kim bertanggungjawab terhadap kegagalan skuad kendaliannya mara ke Piala Dunia B-17.

Skuad B-16 yang dihasilkan menerusi program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) gagal melepasi saingan peringkat kumpulan apabila tewas kepada Jepun hari ini.

Teong Kim masih mempunyai kontrak bersama NFDP sehingga 2020 sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Jelas Syed Saddiq, Teong Kim sendiri yang meletakkan sasaran layak ke Piala Dunia B-17 dan beliau perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan itu.

"Malah kontraknya yang berakhir pada 2020 perlu dinilai semula kerana gajinya mencecah RM175,000 sebulan tanpa dikenakan cukai," katanya.

Syed Saddiq menjelaskan beliau tidak mahu meletakkan kesalahan kepada pemain kerana mereka sudah memberikan yang terbaik namun perlu ada pihak bertanggungjawab iaitu pengurusan tertinggi NFDP.

Tambahnya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NFDP, Safirul Azli Abu Bakar mengambil tindakan awal apabila menghantar surat peletakan jawatan namun ia akan dibincangkan pihaknya.

Teong Kim mula dilantik sebagai Pengarah Projek NFDP pada 2013 disusuli memegang jawatan sebagai Pengarah AMD pada 2016.

Berita Harian X