Jumaat, 28 September 2018 | 7:21pm
STUART Ramalingam

FAM perjelas tindakan pecat Teong Kim

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil menjelaskan kedudukan sebenar di sebalik penamatan khidmat Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih skuad bawah 16 (B-16) tahun negara.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata penamatan khidmat Teong Kim bagi skuad B-16 dan peranannya sebagai ketua jurulatih AMD di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) adalah dua isu yang berbeza.

Katanya, Teong Kim dicalonkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menggalas tugas itu atas kedudukannya sebagai ketua jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang menduduki piramid teratas dalam struktur NFDP.

“Setiap lantikan jurulatih dalam mana-mana penyertaan antarabangsa perlu melalui badan induk. Kami bersetuju dengan pencalonan KBS untuk melantik Teong Kim.

“Sepanjang persiapan ke kejohanan, FAM memberi sokongan terbaik kepada pasukan dengan harapan pasukan ini dapat mencapai objektif yang ditetapkan NFDP sendiri - mara ke separuh akhir,” kata Stuart.

“FAM tidak langsung campur tangan dalam pemilihan jurulatih walaupun ada hak berbuat demikian. Padahal kami mempunyai hak untuk melantik jurulatih lain yang boleh memilih pemainnya sama ada di dalam atau luar sistem NFDP.

“Beliau (Teong Kim) dan FAM tidak ada kaitan sama sekali kerana beliau adalah kakitangan yang dilantik KBS, bukan FAM.”

FAM menamatkan khidmat Teong Kim dengan serta merta susulan kegagalan skuad B-16 melepasi peringkat kumpulan pada Kejohanan B-16 AFC apabila tewas 0-2 kepada Jepun di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Namun, tindakan itu dilihat mendapat pelbagai reaksi khususnya daripada penyokong, malah ada yang menganggap Teong Kim patut dikekalkan.

Pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai gaji sebanyak RM175,000 sebulan yang diterima Teong Kim turut mendapat perhatian pelbagai pihak dan ada yang menyifatkan ia terlalu mahal bagi seorang jurulatih skuad muda.

Selain itu, Stuart menegaskan FAM menyokong penuh supaya NFDP diteruskan sebagai agenda nasional yang dapat melahirkan pemain bola sepak berbakat pada usia muda.

“Ia projek yang hebat, bagaimanapun kami ingin tekankan perlu ada penilaian semula supaya semua pihak mendapat pemahaman yang sama sejajar dengan matlamat mencapai keputusan lebih baik.

“Keputusan yang FAM buat adalah bersandarkan kepentingan serta pembangunan bola sepak Malaysia. Kami berharap dapat bekerjasama dengan semua pihak dalam melahirkan suasana yang lebih kondusif dan positif untuk mencapai keputusan yang kita inginkan,” katanya.

Berita Harian X