Sabtu, 29 September 2018 | 4:04pm
KEDUDUKAN Teong Kim sebagai Pengarah AMD menjadi tanda tanya selepas skuad B-16 gagal mencapai sasaran mara ke Piala Dunia B-17 di Peru. - Foto BERNAMA

Teong Kim tak akan dipecat - Syed Saddiq

 

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan pihaknya tidak memecat Lim Teong Kim daripada jawatannya sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Bagaimanapun, Syed Saddiq menjelaskan akan menilai semula pakej gaji RM175,000 sebulan tanpa cukai dibayar kepada Teong Kim di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Beliau berkata, tindakan itu bukan bermaksud mempersoalkan kelayakan bekas jurulatih skuad muda Bayen Munich itu menerima jumlah gaji yang dianggap tinggi bagi menguruskan skuad bawah 16 (B-16) tahun negara.

“Rakyat perlu tahu bahawa sebelum ini 80 peratus daripada gaji beliau dibayar oleh penaja tetapi sejak dua tahun lalu, MSN (Majlis Sukan Negara) menanggung semua pembayaran itu selepas penaja menarik diri. Tanggungjawab MSN kepada sukan lain akan turut terjejas.

“FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) memecat Teong Kim sebagai jurulatih skuad B-16 tahun. Ini tiada kaitan dengan NFDP dan beliau masih Pengarah Akademi Bolasepak Negara yang sah di bawah NFDP sehingga kini.

“Saya juga mahukan Teong Kim terus menerajui NFDP dengan kepakaran yang beliau ada, tetapi situasi kewangan yang ada pada MSN ketika ini tidak mampu untuk menanggung pakej (gaji) yang sama.

“Jadi saya harap perbincangan dengan beliau bakal menemukan titik tengah yang menguntungkan kedua-dua pihak demi masa depan bola sepak negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kedudukan Teong Kim sebagai Pengarah AMD menjadi tanda tanya selepas skuad B-16 gagal mencapai sasaran mara ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan apabila tersingkir di peringkat kumpulan pada Kejohanan B-16 AFC. 

Malah, pengumuman Syed Saddiq mengenai gaji bulanan diterima Teong Kim mencetuskan pelbagai reaksi daripada banyak pihak.

Sukan NSTP semalam turut melaporkan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyifatkan tiada jurulatih skuad muda di dunia ini mendapat gaji seperti diterima Teong Kim.

Menerusi kenyataan sama, Syed Saddiq menjelaskan penilaian semula akan dilakukan bukan saja terhadap gaji pengurusan NFDP, tetapi akan merangkumi semua aspek termasuk pertandingan dan perbelanjaan alatan.

“Berkenaan bajet tahunan dari kerajaan untuk program NFDP, saya akan berbincang dengan rakan sejawat dari Kementerian Kewangan untuk mengambil kira keperluan peruntukan sesuai dan munasabah bagi terus membantu membangunkan bola sepak di peringkat pembangunan akar umbi,” katanya.

Berita Harian X