Sabtu, 29 September 2018 | 5:44pm
KETUA Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. - Arkib NSTP

Tunggu penilaian semula

 

KUALA LUMPUR: Semua pihak digesa agar tidak memanjangkan lagi isu berhubung pembayaran gaji Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim berjumlah RM175,000 sebulan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, buat masa ini semua pihak seharusnya menunggu penilaian semula yang akan dilakukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke atas Teong Kim dan juga Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

“Menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) sudah mengeluarkan kenyataan membabitkan perkara ini dan MSN juga senada dengan penjelasan diberikan KBS.

“Jadi, kita tunggu perkembangan daripada penilaian yang akan dijalankan nanti,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, RM175,000 yang ditawarkan itu adalah nilai semasa pasarannya di Jerman ketika dia ditawarkan jawatan selaku Pengarah Projek NFDP pada 2014.

Terdahulu, pendedahan gaji Teong Kim sebanyak RM175,000 tanpa dikenakan sebarang cukai dibuat Syed Saddiq, Khamis lalu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat khususnya penyokong bola sepak tempatan.

LIM Teong Kim pada Kejohanan B-16 AFC antara Malaysia menentang Jepun di Stadium Negara Bukit Jalil, pada Rabu. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Bekas jurulatih skuad kebangsaan, B Sathianathan menyifatkan Teong Kim sebagai jurulatih paling bertuah kerana ditawarkan gaji sebanyak itu meskipun sekadar melatih pemain berusia bawah 16 tahun (B-16).

Namun, ada yang beranggapan ia setanding dengan reputasi Teong Kim yang sebelum ini pernah melatih skuad remaja Bayern Munich yang melahirkan bintang berkelas dunia seperti Thomas Muller dan Toni Kroos.

Malah, bukan setakat menjadi jurulatih skuad B-16, dia turut memegang tanggungjawab selaku Pengarah AMD.

Bagaimanapun, Teong Kim berkemungkinan terpaksa perlu ‘mengorbankan’ gaji lumayan itu selepas Syed Saddiq mengesahkan pihaknya akan menilai semula kontraknya yang akan berakhir pada 2020.

Berita Harian X