Rabu, 3 Oktober 2018 | 4:14pm
KHAIRY (kanan) setuju mengkaji semula gaji Teong Kim. - Foto NSTP

Khairy setuju kaji semula gaji Teong Kim

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersetuju agar kos Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) termasuk gaji pengarahnya, Lim Teong Kim sebanyak RM175,000 sebulan tanpa dikenakan cukai, dikaji semula.

Beliau berkata, program yang dimulakan sejak 2014 itu wajar diteruskan dan penilaian semula kos pelaksanaan perlu dilakukan berikutan kekangan kewangan pihak kerajaan.

"Saya mengalu-alukan kenyataan YB Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) yang jelas menyebut bahawa NFDP akan diteruskan. Ini keputusan yang tepat memandangkan mana-mana program pembangunan sukan adalah berjangka masa panjang dan memerlukan komitmen berterusan. 

"Saya memahami dengan kekangan kewangan yang kini dihadapi oleh kerajaan, kos program ini perlu dilihat semula, termasuk gaji Teong Kim. Ini perkara biasa dalam melaksanakan program kerajaan - kos pelaksanaan akan dikaji mengikut kemampuan kerajaan," kata Khairy dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya semalam.

Isu gaji tinggi bekas jurulatih remaja Bayern Munich serta pelaburan besar NFDP dalam tempoh empat tahun menjadi pertikaikan susulan kegagalan skuad bawah 16 (B-16) tahun negara menepati sasaran layak ke Piala Dunia Remaja di Peru tahun depan.

Ada pihak menganggap pelaburan yang dikeluarkan tidak setimpal dengan prestasi anak buah Teong Kim yang terkandas di pusingan awal Kejohanan AFC B-16 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Khairy yang menjadi pencetus kepada program ini berkata, pencapaian NFDP tidak boleh hanya diukur menerusi keputusan di kejohanan itu.

"Dalam tempoh masa empat tahun NFDP sudah berjaya bertapak di seluruh negara. Kini, NFDP mempunyai 25,575 pemain, 1,025 jurulatih dan 126 akademi termasuk Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD). 

“Satu ekosistem pembangunan bola sepak sudah diwujudkan dengan jadual latihan dan perlawanan yang padat dan konsisten sepanjang tahun.

"Kelayakan ke Piala Dunia Remaja 2019 hanya salah satu daripada misi NFDP. Jika diteliti dokumen Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara, jelas sasaran NFDP lebih menyeluruh dan berjangka panjang daripada hanya kelayakan untuk Piala Dunia Remaja 2019. 

“NFDP adalah program pembangunan dan pelaburan yang berjangka masa panjang. Sebab itu fasa pertama merangkumi 2014-2020," katanya.

Khairy yang juga bekas Pengerusi Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, walaupun NFDP tidak mendapat peruntukan yang konsisten iaitu RM20 juta setahun daripada Kementerian Kewangan sehingga terpaksa menggunakan dana MSN, ia tidak menjejaskan peruntukan sukan lain.

"Walaupun MSN terpaksa menampung sebahagian daripada kos pelaksanaan NFDP, program yang membabitkan sukan lain tidak terjejas. 

“Kesemua program yang dirancang sepanjang tempoh pentadbiran saya tidak menghadapi sebarang masalah dan walaupun berdepan dengan peruntukan yang tidak konsisten dari Kementerian Kewangan, dapat dilaksanakan sehingga penghujung 2017," katanya.

Berita Harian X