Rabu, 3 Oktober 2018 | 7:11pm
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto MOHD FADLI HAMZAH

Syed Saddiq mahu cari titik persamaan di 'townhall' NFDP

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu sesi bersama ‘townhall’ Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) esok mampu mencapai kata sepakat semua pihak terbabit.

"Kita mahu mencari titik pertemuan untuk memastikan NFDP dikekalkan dan pada masa yang sama diperkasakan," katanya.

Jelasnya, beliau sedia mendengar pandangan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Lim Teong Kim kerana dia seorang yang sangat berpengalaman.

Ia dilihat peluang terbaik kepada Teong Kim memberikan penjelasan kepada Syed Saddiq tentang keseluruhan program itu.

"Tiada perkara spesifik ditetapkan namun beliau sedia maklum kedudukan kewangan NFDP," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan beliau yang mahu Teong Kim bertanggungjawab terhadap kegagalan ke Piala Dunia B-17, Syed Saddiq menjelaskan beliau perlu bertemu dengan bekas pemain kebangsaan itu terlebih dulu.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dengan wakil Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di pejabatnya.

"Pertemuan adalah bagi membincangkan hala tuju sukan khususnya bagi membolehkan liputan lebih baik dapat diberikan kepada atlet negara," katanya.

Berita Harian X