Jumaat, 5 Oktober 2018 | 8:13am
CRISTIANO Ronaldo sejak beberapa bulan menunjukkan profesionalisme hebatnya. - Foto fail AFP
CRISTIANO Ronaldo sejak beberapa bulan menunjukkan profesionalisme hebatnya. - Foto fail AFP

Juve buka mulut isu Ronaldo

MILAN: Juara Itali, Juventus akhirnya bersuara berkenaan tuduhan rogol terhadap Cristiano Ronaldo oleh seorang model dari Amerika Syarikat dengan berkata ia sama sekali tidak mengubah pendirian mereka terhadap bintang dari Portugal itu, meskipun gergasi barangan sukan dari AS, Nike mengambil berat tentang isu berkenaan.

“Cristiano Ronaldo sejak beberapa bulan menunjukkan profesionalisme hebatnya serta dedikasinya yang amat dihargai oleh semua orang di Juventus,” kata juara bertahan Serie A itu di laman Twitter.

“Peristiwa yang berlaku hampir 10 tahun lalu itu tidak mengubah pendirian kami yang dikongsi oleh semua orang yang mempunyai hubungan bersama juara ini.”

Juventus kemudiannya memuat naik sebuah video di Youtube dan Twitter yang menunjukkan latihan Ronaldo bersama rakan sepasukannya di Turin menjelang perlawanan liga menentang Udinese, esok.

“Juventus terus buru gol. Cristiano Ronaldo menemui penyudah!,” seperti yang ditulis di bahagian video itu.

Sementara itu, Nike berkata mereka amat mengambil berat mengenai kontroversi yang membelenggu bintang itu.

“Kami amat mengambil berat dengan tuduhan ini dan akan terus mengawasi situasi,” kata seorang jurucakap Nike kepada AFP.

Berdasarkan majalah Forbes, Ronaldo adalah salah seorang daripada tiga atlet yang diberikan perjanjian seumur hidup dengan Nike, menyertai senarai lainnya iaitu ikon NBA LeBron James dan Michael Jordan. - AFP

Berita Harian X